Videocon oh Videocon

Dua tiga hari ini aku terkesan dengan pelanggan aku. Setelah dinyatakan harga, beliau bersetuju dengan mengatakan CONFIRM untuk membuat pemasangan, namun akhirnya setelah barang siap dibekalkan dan dipasang, dengan mudahnya menyatakan CANCEL, semudah ABC. Si suami kata CONFIRM sebelum pemasangan, si isteri kata CANCEL setelah beberapa hari pemasangan.

Ini tamparan hebat buat aku, aku menyesal kerana atas dasar percaya, aku tidak minta sebarang deposit. Hanya percaya cakap mulut, dan kebetulan dari mulut yang tidak boleh dipercayai. Memasang dish untuk siaran Videocon dari India ini bukan perkara yang asing bagi ku, sejak 2012 dan sehingga sekarang 2021, hampir 10 tahun. Inilah kali pertama aku merasa diperlekehkan dan diperbodohkan oleh pelanggan. Masih segar kenangan aku dengan mendiang Manokaran, memasang dish untuk siaran Videocon merata tempat di sekitar negeri Melaka, tak kiralah pelanggannya India atau Melayu, ada waktunya hingga menjelang larut malam. Entah berapa ramai aku tak ingat, tapi yang jelasnya sudah berpuluh-puluh.. mungkin juga sudah ratus. Siaran videocon ini, footprint nya ditujukan utamanya ke negara India, jutaan rakyat India menjadi pelanggannya. Namun transpondernya juga diarahkan ke Singapura, kerana syarikat ini menyewa Satelit Singapura, yang dikenali dengan ST2, bermaksud Singapore Telecomunication yang mengawal satelit itu. Kita yang berada diluar Singapura hanya mendapat serpihan signal, masih beruntung. Bermaksud oleh kerana diluar liputan, compensationnya menggunakan dish yang lebih besar untuk kualiti signal yang lebih memuaskan. Kalau nak dikirakan sejak hampir 10 tahun, bukan saja dari Malaysia, telah banyak yang aku kirim decoder Videocon ini ke Indonesia, khususnya di Riau dan Kalimantan. Tak ada masalah pun sehingga kini.

Peristiwa ini memecahkan rekod, belum pernah kejadian seperti ini aku alami, pelanggan menyatakan CONFIRM, atau bahasa Melayunya SETUJU atau PASTI. Barang telah dibeli dari pembekal kerana perkataan CONFIRM tersebut. Setelah ditetapkan hari memasang, aku mengusung Dish yang besar 120 cm (4 kaki) itu, tangga dan peralatan lain. Awalnya hari panas dan berpeluh-peluh membuat pemasangan, disusuli hujan.. sempat basah kerana menyangkakan hujan segera reda, namun terus lebat, berhenti… setelah reda menyambung kembali. Nampak mudah, tapi tak semudah yang disangkakan. Tarik kabel, naik atas siling dan lainnya. Mendapatkan signal dari satelit seperti ‘looking needle in haystack’ kata pepatah Inggeris, kerana signal dalam Ku Band itu ‘tajam’. Memerlukan ketepatan yang sangat jitu, precise…. dengan fine tuning di dish dan di LNB. Paling cepat 30 minit, pernah aku alami hingga berjam-jam. Akhirnya aku berjaya mendapatkan signal yang tinggi, antara 80 hingga 90% kepada setiap transponder. Berbanding menggunakan dish 90 cm (3 kaki), tak mungkin dapat setinggi itu, biasanya antara 50 hingga 65% sahaja.

Tidak berpuashati dengan Content

Pelanggan ini menelefon aku, dengan intonasi suara yang tinggi dan kasar, menyatakan TIDAK BERPUASHATI dengan channel. Katanya siaran cerita lama lah, redundant dengan apa yang ditawarkan dari andoid box dan macam-macam. Butir dan gaya percakapannya seumpama aku ini penjenayah atau penipu. Aku sendiri tidak faham apa masalahnya, sehingga sekarang aku gagal faham. Mana mungkin nafsu dan kemahuan manusia sama, ada yang suka sports, ada yang tak suka, ada yang tak suka movie, ada yang suka…

Kalau dia menyatakan tak berpuashati dengan signal, itu betul. Masalah signal biasanya akan berlaku apabila menggunakan dish yang kecil, tak cukup space untuk collect signal yang memantulkan ke LNB. Kesannya akan keluar kotak-kotak yang kadang-kadang muncul, kadang-kadang hilang dan siaran hilang dan muncul berulang-ulang.

Apa saja kandungan siaran didalam channel tertentu bukan di dalam kawalan aku pun, itu dari syarikat yang juga mendapatkannya dari content provider. Apakah wajar aku yang dihentam?, seolah-olah aku content provider. Bagaimana kita dapat memuaskan hati semua orang, even siaran ASTRO sendiri ramai yang tidak berpuashati. Aku yang telah melanggan Videocon selama bertahun-tahun tak ada masalah pun, walaupun aku tak faham Hindi, Urdu atau Tamil, tak ada masalah pun, siaran Inggeris tetap ada. Sistem prepaid nya sangat mudah, nak langgan bayar, tak nak langgan jangan bayar, tak ada komitmen apa-apa. Kemudian dimasa hadapan nak langgan lagi, tinggal bayar saja dan nikmatilah siaran nya.

Perbandingan saiz dish offset, dari kiri 65cm, 75cm, 90cm dan 120 cm

Act of God

Masalah signal juga akan berlaku apabila hujan lebat, kerana memang menjadi sifat Ku Band dalam frequensi tinggi antara 9 GHz hingga 11 GHz akan bermasalah dengan halangan, dalam hal pancaran satelit adalah dari hujan atau mendung yang sangat tebal. Itu kita tidak boleh kawal, faktor cuaca. “Act of God”.

Hilang Respect

Dengan intonasi suara yang tinggi dan kasar sebegitu secara automatik aku hilang respect. Sekiranya mengikutkan hati dan emosi aku, setelah berpenat lelah membuat pemasangan, keluar duit mendapatkan barang dari pembekal dan sehingga sekarang langsung tidak dibayar walaupun telah di hantar innvoice, mahu saja aku maki hamun. Namun aku masih boleh menahan sabar. Aku tidak mahu perangai aku semasa muda dulu kembali berulang, lebih-lebih lagi memang telah terlatih ‘command and control’ semasa dalam tentera dulu, kawalan ke atas anggota untuk berperang, train to kill the enemy. Dalam usia yang telah melepasi setengah abad sebegini, aku bermuhasabah diri. We give respect to the people, and we’ll get back the respect. Biar orang mencerca, kita berdiam diri bukan bererti kita kalah. Silent is Golden.

Ilmu

Dari awal lagi, aku dah berikan link website Videocon, bacalah dan hayatilah. Orang yang bijak akan membuat survey dari pelbagai sumber, dari youtube pun banyak, sebelum menyatakan CONFIRM atau SETUJU untuk membuat pemasangan. Namun aku gagal berbuat apa-apa kalau pelanggan gagal faham, ditambah dengan pemikiran yang mungkin prejudis. Seperti yang telah aku jelaskan, ini adalah kali PERTAMA aku menghadapi manusia seperti ini. Umpama orang buat rumah, tuan rumah dah setuju dengan harga dan confirm, apabila siap buat rumah, tiba-tiba kata tak setuju dan CANCEL. Sedangkan rumah dan siap. Entahlah, tak boleh nak digest dalam pemikiran aku… aku teringat kata-kata Imam Shafie, “Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu”. Lebih baik aku berdiam diri, dari aku membalas percakapan yang mungkin menyebabkan aku hilang kawalan emosi, lebih buruk situasinya.

Begitulah catatan peribadi aku. Aku abadikan dalam blog aku sebagai rekod dan kenangan. Semoga Allah memberikan petunjuk dan memberikan hidayah kepada umatNya. InshaAllah. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. Sungguh besar sabar itu dalam Islam sehingga di dalam Al-Quran disebut perkataan sabar sebanyak 90 kali. Wallauhualam.