Sumber: copy paste dari WA Group.
Semasa temankan isteri di klinik, saya tengok ada seorang pakcik sedang ralit membaca surat khabar.
Lagi satu, di sebelah dialah yang ada kerusi kosong dan jauh sikit dari bilik-bilik pemeriksaan dan bilik doktor. Saya pun berjalanlah perlahan ke kerusi sebelah pakcik.
Setelah saya duduk, pakcik memandang muka saya, bagi ucapan salam dan berjabat tangan dengan saya.
Bagus betul pakcik ni, detik saya di dalam hati.
Saya pun keluarkanlah telefon. Nak buka Facebook, Instagram semua tu lah. Baru nak buka, pakcik tanya “Nak jumpa doktor ke?”
Saya jawab “Tak, pakcik. Teman isteri buat pemeriksaan kat klinik ibu tu”. Pakcik berkata lagi “Oh, isteri mengandung ke? Tahniah tahniah”.
Saya ucapkan terima kasih kepadanya. Saya kemudian bertanya pula kepada pakcik “Pakcik ni nak jumpa doktor ke?”.
Pakcik menggelengkan kepalanya “Tak. Isteri saya tu kena jumpa doktor. Sebulan sekali begitulah. Anak-anak banyak duduk jauh. Kebetulan saya ni kira gagah lagilah pandu kereta, bolehlah bawa isteri tu ke sana sini. Ikutkan umur dekat 80 tahun ni, anak-anak tak bagi dah hehe”.
“Umur dekat 80? Nampak macam umur 50 lebih je hehe”.
Pakcik senyum.
Tiba-tiba datang seorang lelaki muda, bercakap dengan seorang lagi pakcik berhampiran saya, tua juga.
“Ya Allah, abah kat sini ke?! Berapa kali dah misi tu panggil nama abah. Sebab tu kalau tak dengar, duduk depan sana. Duduk dekat dengan bilik doktor tu. Ini duduk jauh menyusahkan orang”.
Suara dia taklah kuat. Tapi boleh didengari kami.
Terkedu kami jadinya.
Bangunlah pakcik tu perlahan-lahan. Jalan pun terketar-ketar. Anak dia dah jalan laju ke depan. Agakan saya, umur pakcik tu dah lebih 80 tahun.
Pakcik sebelah saya menggeleng-gelengkan kepalanya. Seraya berkata,
“Inilah bala yang kita sedang hadapi. Bala yang diberi tontonan percuma dari Allah. Anak cakap kasar dengan orang tua. Benda begini dah biasa. Selalu sangat kita tengok. Kita pula tengok sahaja tanpa menegur orang tu”.
Saya diam. Tunduk.
Pakcik menyambung “Berapa ramai mak dan ayah yang berani tegur anak-anak dia yang dah besar ni? Berapa ramai boleh bagitahu saja, suruh cakap baik-baik dengan orang tua. Suruh anak-anak cakap baik dengan mereka.
Saya pernah tegur seorang perempuan yang berlaku kasar kepada mak dia. Bila saya tegur, dia tinggalkan mak dia. Kasihan mak dia.
Dah lama sikit, adalah dalam 5 minit, dia datang semula ambil mak dia. Muka masih masam.
Saya pun ada sejarah fasal ni. Pernah dulu ada yang cakap kasar dengan saya dan isteri, mak dia orang tu. Mula-mula saya pun biarkan. Ya lah, masing-masing dah besar panjang. Patut boleh fikirlah dengan baik. Bukan bodoh belaka.
Tak payahlah kita nak pesan bagai.
Lama-lama benda tu jadi macam biasa. Boleh kata semua anak cakap kasar dengan saya dengan maknya. Taklah selalu. Tetapi biasa berlaku.
Kita ni dah tua, simpan sahajalah dalam hati. Duduk rumah berbincang berdua sahajalah. Mengadu ke isteri, isteri mengadu ke saya hehe. Habis begitu.
Masing-masing terasa hati. Tapi tak luah kepada anak-anak.
Sampailah satu hari, yang nombor dua marah ke maknya fasal lauk dah siap masak, periuk nasi terlupa petik suis. Anak-anak balik belaka hari tu, kami buat makan-makan.
Masa tu pakcik okey lagi. Tapi bila yang lain mula menyampuk, siap perli-perli ke maknya, gurau-gurau guna ayat yang tak sepatutnya, pakcik teruslah tegur. Baru dia orang tahu”.
Saya pandang pakcik. Muka pakcik tak ada senyum. Nampak geram. Saya bertanya “Pakcik cakap apa?”
Pakcik “Hehe. Pakcik cakap, awak semua pergi balik sekarang. Pergi balik ke rumah kau orang semua. Selepas ini tak payah balik-balik dah.
Kalau balik nak sakitkan hati mak kau orang, nak rendah-rendahkan dia, tak payah bazirkan minyak kereta kau orang untuk datang ke sini. Abah dan mak lagi selesa. Cukuplah tengok gambar kau orang yang ada di dinding tu, daripada sakit hati dengan apa yang kau orang dah buat.
Semua diam masa tu. Cucu yang duduk ramai-ramai kat depan pun datang ke dapur.
Pakcik cakap lagi, masa kau orang kecil, duduk sekali dengan kami, mak tak pernah pun marah bila kau orang tanya banyak kali. Layan, jawab. Ada juga kamu terlupa nak ambil itu dan ini, mak kekal tak marah. Mak diamkan sahaja.
Ini fasal terlupa petik suis, bukan mainlah marahnya. Hal kecil. Ini anak-anak ada tengok ni, esok anak-anak buatlah macamana mak bapak kau orang buat kat aki dan wan ni. Tengok dia orang terasa ke tak.
Cakap elok-elok tak boleh ke? Mak, mari sini pakai baju. Kita pergi makan di luar. Biarkan budak-budak ni makan sesama dia orang. Abah tak boleh tengok muka awak semua.
Selama ni diam sahaja kau orang cakap kasar. Hari ni dah melampau. Mari cepat!
Isteri saya kemudian bersuara “Tak apalah bah, dia orang bukan selalu balik. Tak baik kita gaduh-gaduh depan rezeki. Kita tunggu sahajalah nasi tu masak. Kita makan sama-sama”.
Masa tu saya geram pula ke isteri saya. Boleh pula dia memujuk. Saya tak berhenti. Saya cakap lagi ke anak-anak.
Ha tengok. Mak awak tetap nak makan dengan awak semua. Awak semua gelak perlekehkan dia, tetap dia nak makan dengan anak-anak. Simpan sahajalah dalam hati sakit tu, kecewa. Yang penting dapat lagi merasa makan dengan anak-anak.
Fikirlah. Semua dah besar. Ada siapa nak marah? Tak setuju dengan apa yang abah cakapkan ini? Kalau ada, pergi balik sekarang!
Sampai situ saya berhenti. Semua tunduk mukanya bila saya tengok. Isteri saya menangis dah. Cucu semua diam. Yang kecil pun boleh diam juga hehe.
Kemudian itu datanglah seorang-seorang minta maaf. Menangis dan sebak belaka.
Saya pun maafkanlah. Selesai.
Lepas tu kami makan sama-sama.
Yang penting, apa yang terbuku di hati, lepas dah”.
Saya tanya lagi ke pakcik “Sekarang macamana?”
“Alhamdulillah. Semua okey. Tak ada dah yang cakap kasarnya. Semua cakap elok dah. Layan kami pun cukup bagus. Paling tak disangka, boleh kata tiap-tiap minggu adalah yang baliknya ke kampung. Tak sunyilah hari Sabtu dan Ahad tu. Ada sahaja periuhnya. Agaknya dia orang pakat sesama dia orang buat jadual siapa kena balik. Hehe.
Awak ada lagi ayah dan mak?
Kalau ada, janganlah cakap kasar dengan dia orang. Dua-dua dah tua. Telinga tak berapa nak dengar, langkah tak sederas dahulu, tenaga tak segagah semasa lincah, cakap tak sekuat semasa muda
Jaga hati dan perasaan mak dan ayah. Umur-umur macam saya, tahap simpan perasaan sahajalah kalau ada anak buat yang tak betul. Nak tegur beria karang, bimbang ke anak terasa hati. Bimbang anak tak nak balik.
Kita hak tua ni, nak sangat tengok muka anak-anak depan mata. Tengok macam masa dia orang kecil-kecil dahulu, gembira, ketawa ramai-ramai, berkongsi berbagai cerita.
Anak-anak ini, syurga. Mak dan ayah tu, bukan neraka. Mereka tu kunci syurga”.
Pakcik tutup bicara. Mendalam sungguh nasihatnya. Begitu perasaan mak dan ayah terhadap anak-anak apabila masing-masing sudah tua.
Kawan,
Kita yang bergelar anak ini, ambillah peluang selagi ada. Jaga hati, jaga bicara. Berbakti sehabis baik. Perbaiki mana yang tersasar.
Buat yang dah tiada, teruslah kirim doa tanpa jemu.
Moga-moga kita tidak tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi atas nikmat kurniaan-Nya.
Mak dan ayah antara anugerah agung kurniaan Allah kepada kita. Tidak boleh ditukar ganti.