Sumber: Facebook
Lawatan Trump ke Riyadh, Abu Dhabi dan Doha bukanlah sebuah diplomasi. Sebaliknya ia adalah satu ‘persembahan’ teater.
Sebuah persembahan teater yang penuh dengan kemewahan, didorong oleh ketamakan, dan disokong oleh pengkhianatan.
Trump, seorang manusia yang secara terbuka membekalkan senjata kepada Israel ketika Gaza dimusnahkan, kini diraikan, bukan saja disanjung dan dipuji turut diberi ganjaran.
Bukan sekadar ganjaran dengan kata-kata, tetapi dengan duit segunung mencecah trilion dolar.
Trilion dolar.
Sementara kanak-kanak kebuluran dan dibom di sebidang tanah yang tertutup hanya beberapa ratus kilometer dari situ.
Pemimpin-pemimpin Arab menyerahkan kekayaan mereka, berlumba-lumba bergambar, di dalam photoops yang menjengkelkan.
Jelas sekali, negara-negara Teluk punya kuasa, ada pengaruh, mereka ada telinga Trump.
Tapi apa yang mereka lakukan dengan kuasa itu? Tiada.
Tidak untuk hentikan pembunuhan, tidak untuk longgarkan kepungan, malah tidak untuk menuntut maruah. Sebaliknya, Trump beri Israel lebih banyak bom, lebih kebebasan bertindak, lebih lampu hijau untuk membunuh.
Ini bukan tentang damai.
Di tengah-tengah visi Trump terhadap Timur Tengah adalah satu tujuan utama: menghapuskan Palestin, menyokong diktator, dan mengubah wajah rantau itu mengikut imej Israel.
Ingat balik apa Trump sebut,
“Tengok pen ini? Meja saya ini adalah Timur Tengah, dan hujung pen itu, itulah Israel. Itu tak bagus,” katanya kepada wartawan suatu ketika dahulu, menyindir saiz Israel yang kecil berbanding jiran-jirannya.
Bagi Trump, Timur Tengah bukanlah wilayah sejarah atau nilai kemanusiaan. Ia hanyalah sebuah pasar tempat membelijual, stor senjata, dan mesin ATM geopolitik.
Ideologi Trump juga sebenanrya mudah dibaca,
Arab itu huru-hara. Israel itu teratur. Arab itu ancaman. Israel itu bertamadun. Ini bukan cara pandang duniia dia pun sebenarnya ini model perniagaan Trump.
Ingat lagi perjanjian senjata bernilai $110 bilion dengan Arab Saudi pada 2017? Itu baru permulaan.
Sekarang Trump mahu lagi. Berapa?
$3 trilion lagi.
Dia mahu Arab Saudi laburkan seluruh KDNK negara, iaitu $1 trilion, ke dalam ekonomi AS. Maka sebagai respon, Arab Saudi tawarkan $600 bilion.
Ini bukan sebuah rundingan, ini pemerasan. Dan mereka menurut. UAE pula sudah janji pelaburan sebanyak $1.4 trilion.
Masing masing berlumba.
Dan perlumbaan ini bukan untuk hentikan pembunuhan beramai-ramai. Ia perlumbaan untuk membeli hati Trump, mencurah kekayaan kepadanya tanpa balasan.
Rantau Timur Tengah di kaca mata Trump tidak lagi dilihat sebagai wilayah, tapi sebagai peti besi tempat simpanan wang.
Kedaulatan? Cuma aset yang boleh diniagakan.
Tawaran Trump sangat gasar dan tak bertamadun sebenarnya,
“Taat pada aku, aku lindungi kamu. Lawan aku, aku musnahkan kamu.”
Dan ketahuilah pemimpin dunia Arab sebenarnya paling takut dengan rakyat Arab sendiri. Takut kepada sebuah kebangkitan Arab Spring yang baru.
Dalam erti kata yang lain mereka lebih takut kepada demokrasi daripada penjajahan. Lalu mereka tunduk dan melutut. bersekongkol dengan syaitan berambut oren.
Apa yang mereka dapat sebagai balasan?
Senjata, tiada gangguan dari Amerika, dan sebuah pentas untuk mereka berpura-pura bahawa mereka ini penting dan berkuasa, sedangkan mereka hanya dipergunakan.
Normalisasi dengan Israel? Sudah.
Tunduk kepada kuasa mereka? Selesai.
Diam tentang Gaza? Terjamin.
Ini bukan kerjasama, ini jual harga diri dan serah kalah.
Dan Trump tahu benda ini.
Sebab Trump hanya hormat satu perkara: kuasa.
Sebab itu dia puji Putin.
Sebab itu dia hormat Erdogan.
Sebab itu dia goyang dengan Xi Jin Ping.
Suka atau benci mereka, mereka lawan balik, mereka pertahan kepentingan negara mereka.
Pemimpin Arab?
Mereka hanya tahu membayar.
Dan Trump pernah sebut secara terbuka sambil ketawa. “Raja Salman takkan bertahan dua minggu tanpa kita,” katanya.
Dan apa yang mereka buat? Mereka beri Trump duit lagi.
Tapi ini bukan cuma soal dasar luar AS.
Ini juga soal keuntungan peribadi Trump.
Sejak sampai ke Timur Tengah pada kali ni apa yang Trump tak dapat?
Keluarga Trump jadikan Teluk sebagai lombong emas: hotel di Dubai, menara di Jeddah, resort golf di Qatar, pelaburan kripto, kelab eksklusif di Washington.
Ini bukan diplomasi. Ini rompakan.
Kalau 2022, Jared Kushner, menantunya Trump dah pun dapat $2 bilion dari Arab Saudi. Kini Trump pula bakal dapat jet peribadi bernilai $400 juta dari Qatar.
Secara literalnya seolah sebuah istana terbang.
Dan reaksi Trump? “Satu gesture yang baik.”
Tapi jangan lupa dia sambung lagi:
“Kami lindungi mereka. Tanpa kami, Arab Saudi, UAE dan Qatar takkan wujud.”
Itu ucapan terima kasihnya. Tanpa rasa malu mereka tetap memberi, lagi dan lagi.
Jadi, persoalannya, untuk apa sebenarnya yang mereka dapat bila mereka bagi semua benda ni kepada Trump?
Untuk 100,000 tan bom yang dijatuhkan ke atas Gaza?
Untuk sokongan terbuka terhadap pembersihan etnik?
Untuk mengangkat tokoh-tokoh seperti Smotrich dan Netanyahu yang menyeru agar rakyat Gaza dihapuskan?
Untuk memimpin pentadbiran AS paling pro-Zionis dan paling Islamofobik dalam sejarah?
Dan mereka tetap tak meminta apa-apa. Mereka tetap beri segalanya.
Walhal sebenarnya mereka punya kekuatan dan kuasa kalau mereka hendak bertindak.
Trump hentikan pengeboman ke atas Yaman atas desakan Arab Saudi.
Dia buat perjanjian dengan Houthi.
Malah dia setuju nak jumpa Presiden Syria, Ahmad al-Sharaa, atas permintaan Arab Saudi.
Sekatan ke atas Syria?
Trump sedang pertimbang untuk tarik balik.
Jadi tidak, Trump juga tidak kebal dari tekanan.
Tapi untuk Gaza? Sunyi sepi.
Ketika Trump disanjung di Riyadh, Israel jatuhkan bom buatan AS ke atas hospital-hospital di Gaza. Sembilan bom pemusnah bunker terkena Hospital Eropah di Khan Younis. Tiga puluh lima terbunuh. Ramai cedera.
Sebelumnya, Kompleks Perubatan Nasser turut dibedil. Wartawan Hassan Aslih mati ketika sedang dirawat. Hari yang sama, 56 rakyat Palestin terbunuh 50 daripadanya di Jabalia, majoritinya kanak-kanak.
Dan tepukan untuk Trump tetap terus bergema.
Minggu ini ulang tahun Nakba. Dan ia berulang kembali.
Bukan hanya dengan kereta kebal, tapi dengan kerjasama pemimpin Arab. Gaza kini kebuluran. Bantuan makanan PBB habis. Hospital penuh dengan bayi-bayi kurus kering, kehilangan penglihatan akibat kekurangan zat. Ibu-ibu pengsan kerana kelaparan.
Sementara itu, menteri-menteri Israel secara terbuka berbincang tentang pelan hapuskan penduduk Gaza. Perbincangan perihal Negara ketiga, pengusiran etnik.
Trump? Dia beri perlindungan kepada kekejian ini.
Dia beri mereka bom. Lagi dan lagi, dikala penguasa Arab sedang beri dia emas.
Sedangkan dunia lain Eropah, China, Kanada, Mexico, bahkan Greenland enggan tunduk kepada Trump dalam isu tariff pemimpin Arab terus melutut, dompet terbuka. Belakang membongkok. Tangan kosong. Masih menyangka kehinaan itu diplomasi.
Masih berharap Trump akan hulur tulang kepada mereka.Tapi Trump tak beri tulang. Dia hulur bil bernilai $3.2 Trillion untuk dibayar oleh pemimpin Arab ini semua.
Ini bukan realpolitik.
Ini sarkas yang menjijikkan, penuh kemewahan, angkuh, memalukan. Dengan setiap cek ditandatangani, setiap jet diberikan, setiap gambar bersama pembunuh rakyat, pemimpin Arab bukan dapat penghormatan sejarah.
Mereka hanya mengukir nama dalam nota kaki sejarah sebagai lambang sebuah kehinaan.
Kredit Penulis Khairul Azri.
Views: 0