PhD bukan tiket kekal untuk kesenangan hidup

Dipetik dari Facebook.

“PhD itu alat untuk kerja akademik. Bila dah pencen, ia tak menjamin apa-apa. PhD selepas bersara seakan tiada langsung nilainya. Ramai orang berilmu tinggi tanpa PhD,” kata bekas pensyarah universiti awam, Dr Nik Rahim Nik Wajis. Gelaran Doktor, pengalaman lebih dua dekad dalam dunia akademik dan bersara sebagai Profesor Madya tidak menjamin kehidupan selesa selepas persaraan. Itu realiti dihadapi seorang bekas pensyarah universiti awam, Dr Nik Rahim Nik Wajis, 62, yang kini menjadi pemandu e-hailing sebagai salah satu ikhtiar demi kelangsungan hidup keluarga besarnya.

Dr Nik Rahim mengakui kehidupannya sedikit sukar selepas bersara daripada pensyarah berikutan perlu menanggung enam daripada 16 anaknya yang masih bersekolah. Akuinya, selepas bersara, pendapatan bulanan merosot drastik daripada sekitar RM10,000 kepada hanya kira-kira RM2,000 hasil pencen, jumlah yang langsung tidak seimbang dengan tanggungan enam anak yang masih bersekolah, selain tiga keluarga yang perlu diuruskan.
“Ini bukan soal maruah atau status. Ini soal tanggungjawab. Memang ada anak-anak lain yang sudah bekerja tetapi mereka pun mempunyai kehidupan sendiri.

“Saya tidak akan membebankan anak-anak lain untuk menanggung adik beradik mereka, kerana ini tanggungjawab saya sebagai bapa, dan semua ini akan dipersoalkan kepada saya di akhirat kelak,” katanya. Dr Nik Rahim yang juga ejen hartanah berkata, pilihan untuk keluar bekerja semula bukan didorong oleh kemewahan, sebaliknya rasa takut untuk gagal menunaikan amanah sebagai suami dan bapa. “Saya boleh saja hidup seorang diri, sewa bilik murah, makan cukup-cukup. Tapi anak-anak dan tiga isteri bukan pilihan yang boleh ditinggalkan,” katanya tenang.
Beliau mengakui pernah mencuba pelbagai bidang sebelum ini, daripada hartanah, agensi umrah, penulisan buku, jualan langsung pelaburan emas, saham dan kripto, namun kebanyakannya gagal memberi pulangan yang diharapkan.
“Bukan tak pernah ada duit. Pernah. Tapi tak pandai urus, tak ada ilmu pelaburan, nafsu belanja tak terkawal. Itu kesilapan saya,” katanya jujur.

Keperluan mendesak, dua jam dapat RM30 dah cukup. Menurutnya, keputusan membawa e-hailing dibuat selepas menyedari keperluan mendesak untuk mendapatkan wang tunai segera, walaupun jumlahnya kecil. “Dalam dua jam, dapat RM30 pun cukup untuk selesaikan masalah hari itu. Itu sudah sangat bermakna,” katanya. Malah, video dia mendaftar sebagai pemandu e-hailing tular di media sosial baru-baru ini, mencetuskan pelbagai reaksi, ada yang terkejut, simpati, malah mempersoalkan bagaimana seorang berkelulusan tinggi boleh berada di situasi sedemikian.
Namun bagi beliau, PhD bukan tiket kekal untuk kesenangan hidup.

“PhD itu alat untuk kerja akademik. Bila dah pencen, ia tak menjamin apa-apa. PhD selepas bersara seakan tiada langsung nilainya. Ramai orang berilmu tinggi tanpa PhD,” jelasnya. Sebaliknya, Beliau melihat episod ini bukan hanya sekadar wang namun sebagai ruang dakwah dan inspirasi, khususnya kepada golongan muda. “Kalau saya yang umur begini, badan sakit-sakit, masih sanggup bekerja, takkan yang muda dan sihat tak boleh bangun cari jalan?” katanya.
Katanya lagi, kehidupan sederhana menjadi pegangan, makan seadanya, berbelanja minimum, dan mendahulukan keperluan anak-anak.

“Saya tak kejar kaya. Saya cuma nak selamatkan keluarga saya dan tak tinggalkan legasi sebagai ayah yang lari daripada tanggungjawab,” katanya. Dalam kesederhanaan itu, beliau percaya setiap ujian ada hikmah. “Kalau hari ini Allah uji dengan sempit rezeki, mungkin untuk hapus dosa atau naikkan darjat. Tugas kita cuma satu, jangan berhenti berusaha,” katanya. Dan buat masa ini, stereng kereta e-hailing itu menjadi saksi perjuangan seorang bekas pensyarah yang memilih untuk bangkit, bukan mengeluh.

Sumber : BH Online

Semoga kita semua dapat mengambil iktibar dari kisah beliau.

Views: 0