Rakan-rakan Radio Amatur telah diperuntukan satu booth sebagai penyertaan di dalam Karnival Minggu Sains Negara 2019 Peringkat Negeri Melaka yang akan dianjurkan oleh Agensi Angkasa Negara dan Kerajaan Negeri Melaka bermula Khamis, 15 Ogos hingga Sabtu, 17 Ogos 2019. Seperti tahun yang lalu, sekali lagi aktiviti seperti ini akan lebih menyemarakkan penyertaan radio amatur dalam menyertai apa-apa pameran yang dianjurkan oleh mana-mana organisasi sama ada dari kerajaan atau NGO.
Seperti biasa, peluang keemasan ini diambil untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat umum tentang wujudnya hobi Radio Amatur dan memberikan penerangan betapa hebat dan uniknya hobi di dalam Radio Amatur, kegiatan dan aktiviti dalam perhubungan, eksperimen dalam teknologi komunikasi serta membantu pihak berkuasa sekiranya diperlukan semasa dalam keadaan situasi kecemasan atau bencana alam.
Bahan pameran seperti alat-alat komunikasi, antena juga akan dipamerkan, disamping memberkan penerangan terhadap fungsi peralatan ini. Selain dari itu, rotator yang dipasang dengan directional antenna Yagi UHF dan VHF juga akan ditunjukkan, dimana kawalannya boleh dilaksanakan secara manual atau secara automatik menggunakan perisian komputer untuk membuat tracking terhadap satelit yang membawa module radio amatur yang sentiasa bergerak.
Kepada rakan-rakan yang berkesempatan, silalah hadir untuk memberikan sokongan anda. Penyertaan anda sebagai pempamer juga adalah sangat-sangat digalakkan. Sila hubungi koordinator untuk maklumat lebih lanjut.
Sumber: BERNAMA
MELAKA, 6 Ogos (Bernama) — Minggu Sains Negara (MSN) 2019 Peringkat Negeri Melaka fasa dua, kini berlangsung di peringkat sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) terpilih di sekitar negeri ini.
Menurut kenyataan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) hari ini, dua IPT terpilih itu ialah Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang diadakan bermula semalam selama empat hari.
“Di peringkat sekolah pula, MSN 2019 bermula hari ini selama tiga hari melibatkan masing-masing empat sekolah rendah dan menengah di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin,” kata agensi di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) itu, di sini.
Dalam pada itu, Karnival MSN 2019 peringkat negeri Melaka pula akan diadakan selama tiga hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, bermula 15 Ogos nanti.
Penganjuran MSN 2019 bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sains, teknologi dan inovasi dalam kehidupan seharian serta menghargai dan mengiktiraf sumbangan dan kejayaan dalam bidang sains, selain menarik lebih ramai pelajar memilih jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selaras dengan agenda STEM Negara.
Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung karnival tersebut termasuklah pameran Sains, Teknologi dan Inovasi; simulasi dron; pertunjukan Sains, Teropong Angkasa; Science Buskers; Sains Photo Booth; bengkel dan demonstrasi roket air dan Planetarium Digital.
“Ceramah Sains juga akan diadakan bersama personaliti sains bagi berkongsi pengalaman dan ilmu dengan pengunjung terutama pelajar dan murid sekolah serta IPT berkaitan bidang STEM.
“Orang ramai boleh melayari Facebook Angkasa untuk melihat jadual, aktiviti dan program sepanjang MSN 2019 Peringkat Negeri Melaka berlangsung,” kata agensi itu.
— BERNAMA