Kisah Pak Mong… ingin ku kongsikan…

YF5OR Abdul Wahid atau Among…

Memerhatikan susuk tubuh manusia buta ini, yang lebih kurang baru 3 tahun ku kenali… membuat otak ku berlegar-legar berfikir…. beliau yang hidup dalam kegelapan sejak lebih kurang 30 tahun yang lalu akibat kemalangan, tetap berusaha untuk berdikari. Dari urusan di dapur, mengurus diri, membasuh baju, ke mesjid dan lain-lain. Aku sempat mengunjungi beliau di Tanjung Balai, Karimun, Kepulauan Riau, 2 kali, pertama tahun 2016 dan keduanya tahun 2019. Lebih dikenali sebagai Pak Mong atau Among dikalangan rakan-rakan Radio Amatur, atau nama sebenarnya Abdul Wahid bin Mohamad Noer, dengan callsign YF5OR. Keturunan Melayu Riau, dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Karimun. Berusia 58 tahun dan berkeluarga dengan tiga cahaya mata, 14 tahun (lelaki), 12 tahun (lelaki) dan 10 tahun (perempuan). Isterinya seorang guru.

Saya bersama Pak Mong semasa bersiar-siar di tepi pantai sambil beliau bermain gitar dan mendendangkan lagu…

Insan ini tidak berdaya untuk mencari rezeki… mengunjungi beliau dirumahnya buat kali kedua membuatkan aku berfikir, apakah yang boleh ku bantu beliau. Orang tua-tua menyebutkan, nak tolong orang, jangan beri ikan, berilah joran pancing…. Jadi aku berfikir, apa yang boleh dibantu? ‘Joran pancing’ apakah yang bersesuaian?. Melihatkan keluarga dan anak-anak beliau membuatkan aku jadi sayu… berapalah sangat gaji isterinya untuk menyara 5 beranak ni… sekadar cukup-cukup makan saja. Dengan menanggung hutang untuk kelangsungan hidup. Melihat rumahnya pun sudah tahu, rasanya tiada perubahan seperti yang aku lihat semasa berkunjung 2 tahun yang lalu. Kerusinya masih sama… set sofa buruknya masih sama… dan kebanyakannya masih sama…

Pak Mong bersama anaknya yang tua, Naufal berusia 14 tahun.

Aku tenung dan memerhati wajah anaknya… yang tua berusia 14 tahun. Mendiam diri sahaja, mungkin malu… menurut saja perintah bapanya, untuk membantu bapanya apa yang perlu… Aku membayangkan diriku waktu berusia sebegitu dulu waktu di kampung, dari keluarga miskin. Aku malu mengajak rakan sekolah datang ke rumah, aku rasa sangat rendah diri dengan kemiskinan yang membelenggu keluarga. Makan seadanya, makan nasi berlauk ikan masin goreng itu perkara biasa, berlauk sambal, sayuran rebus paku pakis, daun ubi, daun betik, jantung pisang dan segala macam daun yang di sekeliling kampung yang boleh dimasak dan boleh dibuat sayur. Sesekali dapat makan telur ayam yang bertelur di reban, atau bertelur di bawah rumah, waduh… sangat sedap dan nikmatnya makan telur… sesekali juga dapat makan ayam, mungkin sebulan sekali apabila orang tua menangkap ayam kampung di reban ayam dan disembelih…. Pergi sekolah berkasut plastik dan berbasikal, yang putih bertukar merah akibat habuk jalan tanah merah…

Anak yang ketiga, Naya yang berusia 10 tahun

Aku masih mengingati kedua-dua arwah orang tua ku… bapaku sebagai ketua keluarga, beliaulah yang pagi-pagi memasak dan menyiapkan bekal nasi aku ke sekolah, nasi dibungkus dalam daun upeh pinang berlaukkan ikan masin goreng… itulah bekal ku… tiada duit untuk beli makanan di kantin sekolah… ibu ku tidak berupaya, ada masalah mental dalam dirinya sejak aku kecil lagi. Maka banyak urusan keluarga dibereskan oleh bapa….

Aku merenung satu persatu wajah anak-anak Pak Mong, wajah isterinya dan wajah Pak Mong sendiri… aku berfikir, aku mesti dan harus berbuat sesuatu untuk membantu supaya Pak Mong boleh berdikari, boleh berbuat sesuatu untuk mendapat rezeki dalam keadaan beliau yang buta itu. Namun apa yang boleh beliau buat dengan keadaannya yang begitu? Buta… tidak berupaya…. Radio di rumahnya pemberian dan sedekah dari sahabat kita, Allahyarham Feroz 9W2JOH, sebiji radio 2 meter band dan sebiji Radio HF… dapatlah beliau berkomunikasi. Power supply juga sumbangan dari rakan di Tembilahan katanya.

Dua tahun yang lalu aku pergi dalam tempoh yang sangat singkat bersama Pak Mus.. hanya tidur satu malam di hotel dan esoknya pulang. Kali ini aku ada waktu yang panjang dan kebetulan isteri aku bersetuju untuk ikut sekali untuk trip kali ini. Berpeluanglah kami merayau-rayau disekitar Pulau Karimun, melihat pantai di sebelah timur, Pantai Pongkar yang menghadap ke Selat Melaka dan juga melihat kawasan pantai di sebelah barat, Pantai Pelawan yang menghadap ke Pulau Rangsang. Sempat juga menunaikan solat jamak di Masjid Agung Karimun.

Catatan ringkas dari 9W2FRP.