Misteri kehilangan pesawat MH370

8 Mac 2025, genap 11 tahun misteri kehilangan pesawat MH370.
“Good Night, Malaysian Three Seven Zero.” Mesej radio terakhir dihantar menerusi kokpit pesawat Malaysia Airlines MH370, tepat pada jam 1.19 pagi, 8 Mac 2014.
Hari berganti hari lebih sedekad telah pun berlalu. Dalam pada cuba berdamai dengan takdir tapi di hati masih mengharapkan kepulangan mereka.
Pemergian mereka meninggalkan seribu tanda tanya sehingga kini. MH370 akan sentiasa di dalam ingatan…🌹
Aku banyak juga menulis dan menjawab beberapa persoalan dari netizen tentang insiden MH370 ni.
Malah ramai kalangan follower aku di sini dulu pun mula follow aku disebabkan perkongsian aku pasal tu.
Baiklah, pagi ni aku kongsikan semula kisah yang pernah aku tuliskan suatu ketika dulu buat follower² baru.
Ada banyak lagi tulisan² lama yang akan dikongsikan semula khas untuk hari ini jika kalian semua berminat nak baca.
Syaratnya mudah. Tekan ‘like’ tanda anda nak baca perkongsian seterusnya.
Apabila perkongsian tersebut mencapai 500 likes, aku akan kongsikan perkongsian yang seterusnya…
Tak silap aku ada lebih dari 5 atau 6 penulisan berkenaan MH370 dan persoalan mengenainya yang telah pun aku tuliskan.
Kita mulakan dengan Perkongsian yang pertama ini. 1️⃣
Ini Kisah Aku (Part 1)
Aku adalah salah seorang yang pernah terlibat secara langsung dalam misi mencari dan menyelamat “Search And Rescue (SAR)” pesawat MH370 ini.
Aku ingat lagi malam tu jam lebih kurang 2 pagi, aku nak tutup TV dah masa tu sebab nak tidur. Aku biasanya tidur agak lewat selalunya, biasalah polis kan…
Tiba-tiba keluar kat berita terkini pesawat MH 370 lost contact pada jam 1:19 pagi ketika menuju ke Beijing China.
Lepas tu masuk sms kat whatsapp “MH370 is missing, last report at Igari”… Terus aku tukar TV ke channel Awani 501 kat TV dan yes… Its confirm, MH370 is lost❗️
Ya Allah… Betul ke apa yang aku dengar ni? Saluran berita di Astro Awani terus cover berita tu. That night, 8 March 2014 will always be in my memory… 😢
Terdetik dalam hatiku berkata, “camnalah keadaan mereka yang terselamat, berada di dalam lautan yang gelap dan sejuk, mesti esok pagi aku akan ditugaskan untuk operasi search & rescue ni”… kata hatiku.
Sebenarnya memang di dalam hati, aku nak sangat terpilih sebagai kru untuk tugasan SAR ini sebab inilah pertama kalinya dalam sejarah sepanjang aku berkhidmat, sebuah pesawat MAS hilang dari radar dan dipercayai telah terhempas di Laut China Selatan.
Nak dijadikan cerita, 9hb Mac tu sebenarnya birthday wife aku.
Aku dah rancang nak sambut harijadi wife masa tu tapi tak dapat sebab aku berada di Kota Bharu kerana menjalankan misi SAR MH 370.
Sebelum tidur pagi tu, masuk dah message di whatsapp tentang penugasan SAR MH 370.
Menjelang pagi 8 Mac 2014, aku dan kru yang lain dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pdrm pun berlepas ke Kota Bharu.
Kami dibahagikan kepada 2 group, group pertama terus berlepas ke kawasan operasi manakala aku dan kru lain yang berada dalam group ke-2 standby di hotel penginapan.
Waktu tu aku sangat yakin yang kami akan menjumpai pesawat MH370 yang hilang tu kerana kami mempunyai sebuah pesawat yang paling moden berbanding ATM dan APMM yang turut sama melakukan pencarian mengesan pesawat yang hilang itu.
Pesawat yang digunakan dalam misi khas ini adalah dari jenis King Air Beechcraft 350 yang mempunyai sistem radar dan berkemampuan untuk menjalankan misi mencari & menyelamat.
Pesawat ini baru saja diterima lebih kurang 3 tahun sebelumnya dan sempat digunakan semasa misi Ops Lahad Datu sebelum itu.
Maritime Patrol Aircraft (MPA) atau pesawat peronda maritim milik Pdrm boleh mengesan dan memantau sebarang aktiviti yang berlaku di perairan negara terutamanya di atas permukaan air.
Ia memiliki sistem radar khas mengesan objek di atas permukaan air.
Masa tu, sebelum kedatangan P3 Orion dari US, pesawat milik PDRM itulah yang paling terkini dan canggih teknologinya yang M’sia ada.
Aku dan rakan-rakan kru yang lain berdebar menunggu berita dari group satu yang ketika itu sedang menjalankan penerbangan misi mencari dan menyelamat.
Akhirnya lewat petang, pesawat kembali mendarat di Kota Bharu dan sessi taklimat terus dijalankan.
Agak mengejutkan, tiada mana-mana pesawat pun yang menjalankan misi SAR pada hari tersebut berjaya menemui apa-apa petunjuk.
Pelbagai andaian dan spekulasi mula berlegar dikalangan pasukan mencari dan menyelamat…
Macam-macam info dan maklumat tidak sahih mula bermain di media sosial. Hari pertama berlalu dengan misteri dan kebuntuan bagi seluruh pasukan SAR MH370
Day – 2 Misi Mencari & Menyelamat
Kali ni aku pula yang terbang ke kawasan operasi. Selepas sidang media oleh PM, kawasan operasi telah diperluaskan lagi…
Bersambung…
Day – 2 Misi Mencari & Menyelamat
Selepas sidang media oleh PM, kawasan operasi SAR telah diperluaskan lagi.
Kali ini aku sendiri yang akan terbang ke kawasan operasi bagi mengesan, mencari dan menyelamat mangsa pesawat MH370.
Seusai solat subuh, aku terus berdoa memohon kepada Allah agar penerbanganku itu diberkati dan pesawat malang MH370 tersebut berjaya ditemui…
Selepas itu aku dan kru terus bergerak ke pesawat King Air Beechcraft untuk misi SAR hari ke-2.
Pada hari ke-2 juga, pelbagai pesawat dari luar negara tiba bagi membantu misi mencari & menyelamat. Kapal laut dari negara seperti US juga turut sama tiba di kawasan operasi.
Oleh kerana terlalu “sesak” dengan pelbagai jenis pesawat dikawasan operasi, SAR Command Center telah membahagikan kawasan mengikut zon pencarian.
Langkah ini bagi memastikan pencarian tidak bertindih dikawasan yang sama dan juga mengelakkan dari berlakunya pertembungan antara pesawat SAR yang boleh mengakibatkan malapetaka lain pula..
Berdasarkan usaha yang dilakukan oleh pasukan penyelamat pada hari ke-2 itu, boleh aku katakan setiap inci kawasan operasi telah kami teliti dan jelajahi.
Tiada langsung kesan minyak, serpihan pesawat atau apa-apa jua tanda yang boleh dikaitkan dengan pesawat MH370.😓
Pelik… Memang pelik, tak mungkin pesawat sebesar itu boleh hilang tanpa sebarang kesan. Aku dah mula syak yang pesawat MH370 ini tidak terhempas di kawasan sekitar Igari.
Semasa mendarat untuk pengisian bahan Api, kami mendapat info yang pesawat MH370 telah dikesan oleh radar Royal Malaysian Air Force’s (RMAF) melakukan “Air turn back” di Igari.
MH370 dikatakan telah terbang ke barat melepasi ruang udara di Pulau Pinang dan seterusnya ke utara melepasi Pulau Perak iaitu sempadan M’sia yang paling jauh ke utara di Selat Melaka.
Sebuah pesawat peninjau RMAF juga telah diarahkan ke sana pada pagi hari ke-2 untuk mengesan pesawat MH370 di sekitar Pulau Perak namun tiada apa yang berjaya dikesan oleh mereka.
Patutlah masa hari ke-2 tu tiada kelibat pesawat RMAF dikawasan operasi sekitar Igari.
Petang 9 Mac 2014, seluruh pasukan SAR dimaklumkan berkenaan info tersebut dan pencarian mula beralih ke Selat Melaka selepas itu.
Aku dan kru yang lain pula diarahkan untuk kembali semula ke Subang dan standby di sana menanti arahan selanjutnya.
And the rest after that become history… Begitulah ceritanya.
Gambar di bawah adalah gambar sebenar pesawat King Air B350 yang digunakan oleh PGU ketika misi SAR dijalankan. Lokasi di airport Kota Bharu pada 9 Mac 2014.
Kredit gambar : Pn Nazar N Salsabiela
Ingin baca lagi kisah yang ke-3? Syaratnya mudah. Tekan ‘like’ tanda anda nak baca perkongsian seterusnya. Apabila cukup 500 likes, aku akan kongsikan pula kisah yang ke-3…
Bersambung…
Apabila Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KL ARCC) diaktifkan pada jam 0530 pagi waktu Malaysia, Pdrm adalah antara pasukan penyelamat yang pertama sampai ke lokasi kejadian selain dari Tudm.
Team SAR (Search & Rescue) misi mencari dan menyelamat Pdrm adalah terdiri daripada dua buah kapal terbang jenis King Air 350.
Lewat petangnya, beberapa buah kapalterbang dan kapal laut dari negara asing sampai untuk memberikan bantuan…
Hari pertama misi gagal menemui sebarang petunjuk akan lokasi sebenar pesawat MH370 dijangka terhempas.
Keadaan ini telah menjadi satu misteri dan persoalan kepada pasukan penyelamat…
Selepas pencarian yang luas di Laut China Selatan, tiada sebarang bangkai pesawat atau kesan minyak yang ditemui di sekitar kawasan pencarian.
Kegagalan menemui bangkai pesawat di Laut China Selatan menyebabkan KL ARCC meminta bantuan dari “Military radar” untuk membantu dalam mengesan pesawat yang hilang tersebut.
Dan penemuan dari “Military radar” adalah amat mengejutkan. MH 370 rupanya telah membuat “Air turn back” selepas “point of Igari”…
Berdasarkan info dari satelit milik Amerika, pesawat berakhir di Lautan Hindi yang terbukti jauh lebih ganas dan kuat arus lautnya berbanding Laut China Selatan dan juga Selat Melaka.
Pertama sekali, kita kena tahu satu benda iaitu tiada siapa pun yang tahu MH370 itu jatuh kat mana. Nak kata jatuh kat Lautan Hindi tu, memang potensinya tinggi kalau mengikutkan data Inmarsat.
Walau bagaimanapun, Lautan Hindi tu tersangatlah besar dan ia diantara lautan paling mencabar di dunia. Aku bagi perspektif supaya mudah kalian faham…
Saiz Semenanjung Malaysia adalah 132,490 kilometer persegi. Pihak SAR dah menjelajahi 120,000 kilometer persegi di Lautan Hindi.
Jadi sekarang kalian boleh bayangkan, pihak SAR tu dah pun cover hampir lebih kurang seluruh Semenanjung Malaysia mencari pesawat malang tersebut.
Saiz Lautan Hindi pula adalah 70.56 juta kilometer persegi. Maksudnya pihak SAR baru menjelajah 0.17 peratus daripada seluruh lautan.
Kat sini pun kalian dah boleh bayangan betapa susahnya misi untuk mencari pesawat MH370 ni.
Oleh kerana kita tak tahu pesawat ini jatuh kat mana, memang misi ni bergantung pada rezeki dan kuasa Allah sahaja.
Kalau Allah izinkan maka satu hari nanti, Insyallah kita akan jumpa juga denganya. Sama-samalah kita mendoakannya…🤲🏼
Sekadar info, kapal Titanic hanya berjaya dijumpai secara tidak sengaja selepas 73 tahun kapal tersebut karam di lautan.
Ingin baca lagi kisah yang ke-4? Syaratnya mudah. Tekan ‘like’ tanda anda nak baca perkongsian seterusnya. Apabila cukup 500 likes, aku akan kongsikan pula kisah yang ke-4…
Bersambung…
Menjawab persoalan² mereka yang baru follow aku di FB.
Kenapa radar tak boleh kesan MH370?… Kenapa pesawat kita tak intercept MH370?… Dikatakan ada pesawat lain dekat MH370, kenapa biarkan?
Soalan² netizen ni hadir kerana menteri yang dipertanggungjawabkan gagal untuk menjawab dengan baik insiden yang telah berlaku ke atas MH370… Itulah sebabnya.
Dan kebiasaannya ada yang sarcastik menjawab atau perli sistem radar dan keselamatan negara kita ni lemah. Seolah-olah TUDM kita ni tak buat kerja. Duduk saja saja makan gaji buta.
Sebagai bekas pegawai kanan polis dan juga bekas jurulatih juruterbang Pdrm, sudah tentulah aku pernah terlibat dengan misi bersama dengan Airforce dan Navy ni.
Pernah juga menghadiri mesyuarat keselamatan bersama dan juga hadir kursus² khas bersama dengan pegawai² dari ‘Airforce’ dan juga ‘Navy’.
Jadi bila aku baca komen² netizen dan tohmahan² tidak tepat ke atas mereka, aku rasa terpanggil untuk tulis benda ni supaya orang awam (Netizen) tahu ilmunya dan lepas ni komen la berdasarkan ilmu dan fakta yang betul dan sahih.
Bukannya merapu ikut “hearsay” kata² ahli politik yang depa sendiri pun cakap main ikut sedap mulut je tanpa bukti dan ilmu…
Semuanya bercakap atas kepentingan peribadi. Bila dah jadi menteri, diam mulut terkunci… Yang dulu berdegar-degar kata tahu, tuduh itu dan ini akhirnya senyap diam dan membisu…
Ok pertamanya Aku nak cerita bab radar dulu secara umum.
Radar ni ada DUA jenis. Satu jenis “Secondary” yang menara kawalan trafik udara selalu guna untuk kawal semua kapalterbang domestik dan internasional tu.
Satu lagi jenis “Primary”. Yang jenis inilah yang digunakan oleh pihak “Airforce” kita guna untuk memantau semua pergerakan pesawat di atas ruang udara kita.
Jenis apa tu semua tak payah tahu la. Tahu pun korang nak buat apa. Buat semak kepala je…
Yang pasti Airforce kita sentiasa memerhatikan setiap pergerakan pesawat di ruang udara kita selama 24 jam tak kira masa.
Setiap radar ni pula ada tahap kemampuannya. Berapa jauh radar ni boleh “detect” pesawat? Hanya Airforce saja yang tahu… Its a top secret bagi setiap negara.
Ok faham kan ayat tu dulu. “Its A Top Secret” bagi setiap negara❗️
Kalau dah boleh faham bab radar tu, baru la aku boleh ke peringkat yang seterusnya untuk menjawab beberapa soalan² netizen.
1️⃣ Kenapa radar tak boleh kesan MH370?
Yang tak boleh kesan MH370 tu adalah radar secondary.
Bila satu alat dalam kapal yang dipanggil “Transponder” itu ditutup samada secara sengaja atau tidak, ATC di menara kawalan tidak lagi nampak pesawat tu dalam screen depa.
Tapi radar primary milik Airforce ada dan masih boleh nampak pesawat tu buat “Air turn back” dekat point of “Igari” iaitu sempadan udara antara M’sia dan Vietnam.
Ia kemudian meneruskan perjalanannya ke Pulau Pinang sebelum naik ke utara melintasi Pulau Perak, Kedah yang terletak di utara Selat Melaka dan merupakan titik paling barat negara kita Malaysia.
2️⃣ Kenapa Airforce tak hantar jet intercept MH370?
Sebabnya tiada keperluan mendesak untuk mereka berbuat demikian. Setiap tahun ada sahaja kapal yang akan buat “Air turn back” kat sesuatu kawasan termasuklah di “Igari”.
Sebab utamanya adalah kerana masalah teknikal yang dialami oleh sesebuah pesawat menyebabkan mereka perlu berpatah balik.
Itu adalah sesuatu yang normal bagi pesawat komersial kita bila berlakunya sesuatu masalah.
Jika masalah tersebut “agak teruk”, pilot akan bawa kapal pesawat dan akan “land as soon as posible”.
Dalam kes MH370, airport terdekat dari Igari untuk pilot “landing” dengan segera adalah airport Bayan Lepas di Pulau Pinang.
Kenapa bukan airport Kota Bharu, K.Terengganu atau Kerteh? Sebab airport tersebut tidak beroperasi 24 jam. Airport tersebut tidak beroperasi selepas jam 12 malam.
3️⃣ Kenapa ATC kita tak lapor terus kat Airforce?
Sebab mereka tak tahu pun MH370 buat Air turnback kerana transponder dalam pesawat telah pun dimatikan oleh ‘seseorang’.
Sangkaan ATC pesawat itu sudah pun terbang memasuki ruang udara Vietnam.
Selagi mana ATC di Vietnam tidak menghubungi ATC di M’sia untuk maklumkan yang MH370 tidak lapor pada mereka, selagi itulah ATC di M’sia tidak akan tahu dan tidak dapat mengaktifkan plan kecemasan Search & Rescue (SAR).
Lepas MH370 di lepaskan kepada ATC Ho Chi Minh di Vietnam, MH370 bukan lagi dibawah tanggungjawab ATC M’sia.
Ada beberapa prosedur yang perlu dipatuhi untuk “Declare” pesawat hilang di udara ni… Bab ni lain kalilah Aku cerita.
Kekeliruan inilah yang terjadi pada malam kejadian itu berlaku.
Dalam masa yang sama, pihak airforce kita juga menyangkakan yang pesawat tersebut berada dibawah kawalan ATC di KLIA.
Kalau dilihat dari peta laluan yang pernah aku kongsikan sebelum ini, MH370 telah terbang mengikuti laluan yang biasa dilalui oleh mana² pesawat dari Kota Bharu untuk ke Penang Airport.
Sebab itulah MH370 dikatakan melalui ruang udara Butterworth sebelum ia terbang ke utara melalui sempadan di Pulau Perak dan akhirnya hilang dari radar pengawasan “military” milik negara kita.
Jadi kat sini nampak tak? Radar tentera kita sebenarnya tahu pergerakan pesawat tersebut selagi mana ia berada DI DALAM RUANG UDARA MALAYSIA.
Dan ‘orang’ yang menerbangkan pesawat itu juga nampaknya tahu akan laluan yang perlu dilalui bagi mengelakkan pesawat tersebut dari dicurigai oleh radar milik pihak tentera kita.
Jadi tak payahlah nak perlekehkan pihak keselamatan negara kita.
Cuma bila MH370 dah pergi terlalu jauh masuk ke ruang udara negara jiran kita, tak boleh la lagi radar kita nak kesan dan monitor pesawat tersebut.
Dah masuk ke rumah orang lain kot, takkan kita pula sibuk nak ceroboh… Dan kalau tentera kita tahu sekali pun, benda camni mana boleh suka² nak beritahu dan heboh…
Tahu la negara lain nanti kita skodeng negara depa. Dah jadi isu lain pula. Perkara ni sama saja kat mana² negara dalam dunia.
Radar tentera adalah sesuatu yang rahsia. Contohnya radar negara jiran kita, silap² depa boleh nampak orang main badminton kat Kuantan dan Gong Kedak di Besut tu…
Bukan lagi rahsia, hal² berkenaan intipan ni sentiasa ada dan ia adalah berterusan sebenarnya.
Mereka sentiasa nak tahu tentang kekuatan persenjataan dan kekuatan udara kita. Siapa mereka itu biarlah rahsia….
Bab² intipan ni selalu aku dengar ceritanya masa kursus dengan pegawai² dari ‘Airforce’ dulu. Beberapa tangkapan juga pernah berjaya dilakukan oleh tentera kita.
Di laut Selat Melaka berhampiran dengan Pulau Pinang, sempadan ruang udara kita dengan Indonesia tu dekat saja.
Kalau pesawat besar cam MH370 tu “Hold” atas laut, lajak ke barat sikit je dah masuk ke kawasan jiran kita.
Jadi isu untuk intercept pesawat komersial ni tidak berlaku atas faktor tadi iaitu kemungkinan pesawat tersebut mengalami masalah teknikal, tapi rupa-rupanya ia tidak berlaku sebaliknya pesawat itu terus terbang keluar dari negara kita.
ATC kita pun tak tahu pada mulanya hinggalah dimaklumkan oleh pihak Airforce kita pada hari pertama pencarian pesawat tersebut.
Nak minta bantuan radar tentera pun bukan boleh suka² ya. Ada protokol dan SOPnya… Its take time brother. Kena berhati-hati untuk dedahkan ‘rahsia’ kita.
Dan untuk makluman, tiada mana² pesawat pun yang menghampiri pesawat yang hilang tu. Semua tu tokok tambah dan mengarut sahaja.
Korang ingat boleh ke suka² je pesawat luar tiba² masuk dan mendekati pesawat komersial kita. Airforce kita bukannya buta brother.
Dari cerita rakan² yang terbang pada malam tersebut, ramai juga yang turut membantu ATC untuk contact MH370 tapi tiada jawapan balas diberikan.
Base on report, pesawat telah terbang secara selari dengan laluan udara yang ada selepas ia melakukan Air turn back.
Kalau orang macam aku baca laporan akhir setebal 495 muka surat yang telah dikeluarkan tu, jelas sekali bahawa pesawat tersebut dipandu oleh ‘seseorang’ yang mahir dengan pesawat.
Beliau tahu selok belok laluan udara dari Igari ke Kota Bharu kemudiannya ke Pulau Pinang sebelum terbang ke utara melalui Pulau Perak (sempadan negara).
Beliau juga tahu peluang untuk membuat “Air turn back” tanpa di sedari oleh ATC adalah di sempadan udara antara 2 kawalan trafik udara. Dalam kes ni adalah di Igari. He need to buy time.
Dan dari laporan akhir tersebut, pesawat tersebut dikendalikan secara manual oleh “seseorang”…
Persoalannya adalah siapakan “orang” yang menerbangkan pesawat tersebut???
Dan jika pilot sendiri yang menerbangkan pesawat itu, adakah beliau dengan sengaja berbuat demikian atau pilot telah dipaksa oleh seseorang yang mungkin telah merampas pesawat tersebut.
Semua persoalan ini akan terus kekal menjadi satu misteri yang tidak terungkai sehinggalah pesawat MH370 itu dapat ditemui.
Insyallah dengan izin Allah, moga satu hari nanti misteri kehilangan MH370 akan terungkai… Sama² kita doakan.
Ingin baca lagi kisah yang ke-5? Syaratnya mudah. Tekan ‘like’ tanda anda nak baca perkongsian seterusnya. Apabila cukup 500 likes, aku akan kongsikan pula kisah yang ke-5…
Bersambung… Part 5.
Kredit gambar : Google
Fakta vs Auta… Teori rampasan pesawat (Hijack).
1️⃣ Adakah pesawat MH370 telah di “Hijack” dari luar dan dikendalikan secara auto sepenuhnya dari luar pesawat?
Ok, sila lihat gambar yang aku kongsikan kat bawah tu. Gambar pertama adalah Circuit Breaker (CB). Bila berlaku sesuatu yang abnormal dalam pesawat kebiasaannya CB ini akan “pop up” dan memutuskan litar elektrik.
Semua sistem dalam pesawat mempunyai CB yang tersendiri termasuklah sistem navigasinya.
Dalam keadaan tertentu iaitu apabila sistem penerbangan menjadi ‘haywire’ atau ‘malfunction’, pilot boleh ‘disengage autopilot’ atau cabut saja CB ni dan terbanglah secara manual kembali ke mana-mana airport yang terdekat.
Malahan pilot sendiri pun akan ‘disengage” autopilot dan terbang secara manual apabila hampir untuk mendarat.
Contoh mudah nak bagi faham adalah macam fius yang ada dalam DB box elektrik kat rumah kita tu.
Kadangkala bila ada litar pintas berlaku, sebagai contoh ianya berlaku di bahagian dapur, maka kita akan ‘off’kan fius yang salurkan elektrik ke bahagian dapur tu sahaja.
Tak perlu nak ‘off’kan keseluruhan bahagian lain dalam rumah yang tidak bermasalah. Bab ni biasanya orang lelaki mesti tahu kan, cuma kadang orang perempuan depa kurang arif sikit pasal bab ni.
Jadi adalah sangat mustahil untuk kapal terbang boleh dihijack dari luar dan kemudian diterbangkan secara “remote” oleh pihak tertentu yang ingin merampas pesawat berkenaan kecualilah ianya sebuah pesawat jenis dron yang tidak mempunyai juruterbang di dalamnya.
Buat masa ini, teknologi pesawat tanpa juruterbang ini masih lagi sedang diuji oleh China. Banyak ‘software’ dan ‘equipment’ khas yang perlu dipasang pada pesawat berkenaan.
Macam² nak kena pasang pada badan pesawat dan ianya bukan sesuatu yang ‘simple’ dan mudah.
Maka teori yang menyatakan pesawat MH370 berkemungkinan dirampas dan dikawal secara remote dari luar pesawat adalah tidak tepat, merepek dan mengarut.
2️⃣ Adakah salah seorang penumpang telah berjaya masuk ke kokpit dan merampas pesawat tersebut?
Untuk makluman, biasanya pintu kokpit pesawat akan sentiasa ditutup dan berkunci. Ini bagi mengelakkan orang yang tidak berkenaan dari masuk ke ruang kokpit.
Tanpa kebenaran kapten, tiada sesiapa pun dibenarkan untuk masuk ke dalam kokpit pesawat.
Setiap orang yang belajar mengenai pesawat tentu sudah sedia maklum dengan apa yang dipanggil sebagai “Transponder”.
Bagi yang tak tahu, Aku mudahkanlah untuk anda semua faham. Transponder ni adalah alat yang beri info kat menara kawalan tentang lokasi dan ketinggian sesuatu pesawat itu sedang berada.
Jadi kalau ada orang yang tutup atau “switch off” alat ni, maka tak dapatlah menara kawalan atau ATC nak tahu kat mana pesawat ini berada, ghaiblah ia dari skrin yang ada kat depan seorang Air Traffic Controller (ATC).
Siapa yang boleh tutup atau “switch off” transponder ni?
Hanya pilot atau orang yang berada kat dalam kokpit pesawat saja boleh melakukannya. Dengan syarat dia tahulah transponder tu ada kat mana.
Ok Aku bagi contoh gambar ketiga kat bawah ni. Agak²nya orang awam biasa tahu tak kat mana transponder berada dalam gambar kokpit pesawat Airbus 320 ni.
Cuba cari skrin yang tulis 0731… Itulah dia transponder.
Transponder ni pula ada 3 kod yang semua pilot wajib ingat bila berlaku sesuatu kecemasan. Kod² tersebut adalah:
1️⃣ 7500 – “Hijackings” Pesawat telah dirampas atau ada perampas dalam pesawat
2️⃣ 7600 – “Radio Failure” Pesawat mengalami masalah komunikasi dan tidak dapat berkomunikasi dengan menara kawalan
3️⃣ 7700 – “Emergency” Pesawat mengalami kecemasan. Contoh kecemasan adalah “Engine failure”, “Fire”, “Decompression”(Kehilangan tekanan oksigen), ada orang sakit sedang nazak dalam pesawat dan macam² lagi.
Dalam kes ‘hijacking’, kod Transponder 7500 akan disetkan terlebih dahulu oleh pilot jika ada kemungkinan perampas di dalam pesawat.
Sebelum pesawat dirampas, pilot akan secara senyap setkan nombor 7500 kat transponder sebelum membuka pintu kokpit pesawat sekiranya perampas mengancam untuk mencederakan mana² orang di dalam pesawat.
Tak perlu pun nak cakap kat menara kawalan yang ada perampas di dalam pesawat.
ATC bila depa tengok je transponder kapal tu tiba² bertukar dari 0731 seperti dalam gambar menjadi 7500, mereka akan automatik tahu maksud disebalik kod itu.
Semua pihak keselamatan akan dihubungi dan dimaklumkan dengan segera.
Dan dengan sepantas mungkin, akan ada fighter jet yang akan ‘follow’ dan mengiringi kapal tersebut.
Malangnya hal ini tidak berlaku pada MH370 kerana kod 7500 tidak disetkan oleh pilot.
Transponder pesawat MH370 telah dimatikan secara tiba² tanpa sebarang amaran lebih kurang 00:01:43 selepas ayat “Good night Malaysian Three seven zero” dilafazkan.
Persoalannya adalah,
1️⃣ Apa yang telah berlaku dalam sela masa 1 minit dan 43 saat sebelum transponder dimatikan dan kemudiannya membuat ‘Air turn back’.
2️⃣ Siapa yang dengan ‘sengaja’ telah menutup transponder pesawat MH370 tersebut.
3️⃣ Dari laporan akhir, MH370 telah dikendalikan secara manual oleh seseorang. Persoalannya adalah siapakah orang tersebut?
4️⃣ Jika pesawat dirampas oleh salah seorang penumpang, mengapa pilot tidak cuba untuk melaporkannya.
5️⃣ Jika benar dirampas, bagaimana perampas boleh menghampiri pintu kokpit tanpa di curigai, ditegur atau di halang oleh ‘cabin crew’.
6️⃣ Adakah ‘cabin crew’ terlibat untuk bantu perampas masuk ke dalam kokpit.
Itulah antara persoalan yang akan kekal tanpa jawapan selagi mana pesawat MH370 itu tidak dijumpai.
Ingin baca lagi kisah yang ke-6? Syaratnya mudah. Tekan ‘like’ tanda anda nak baca perkongsian seterusnya. Apabila cukup 500 likes, aku akan kongsikan pula kisah yang ke-6…
Bersambung…
Melihat dari perspektif dan perancangan rapi ‘suspek’ dalam insiden MH370
1️⃣ Pertama adalah ‘Plan’. Macam mana nak menghilangkan sebuah pesawat tanpa dapat ditemui oleh mana² pasukan keselamatan serta pasukan mencari & menyelamat?
Jawapannya adalah, pesawat perlu diterbangkan ke kawasan yang bebas dari mana² radar awam dan juga radar milik tentera. Dekat mana arah yang nak dituju tu?
Jawapannya tentulah bukan di atas daratan kerana tiada mana² daratan di atas dunia ini yang tidak dimiliki oleh mana² negara kecuali di kutub utara dan kutub selatan.
Sebab kalau di atas daratan, cukup mudah untuk mana² pesawat dikesan oleh radar milik pasukan keselamatan.
Ini kerana setiap negara di dunia memiliki radar untuk menjaga keselamatan kawasan negaranya. Jadi mana nak tuju?
Maka jawapannya hanyalah satu iaitu lautan…
Ok sekarang lautan mana yang nak dituju? Ada 5 lautan terbesar di dunia yang tidak di pantau sepenuhnya oleh radar.
Lautan tersebut adalah Lautan Pasifik, Lautan Atlantik, Lautan Artik, Lautan Selatan di Antartika, dan Lautan Hindi.
Inilah 5 lautan luas yang tidak di ‘cover’ sepenuhnya oleh radar mana² negara di dunia. Dan Lautan Hindi adalah lautan yang paling hampir untuk dituju oleh pesawat MH370.
Tapi ramai yang kata tak mungkin pesawat MH370 tu jatuh di lautan Hindi sebab tak jumpa pun serpihan dan bangkai pesawatnya.
Ni aku nak bagi tahu, lautan Hindi tu bukan macam Selat Melaka atau Laut China Selatan. Cuba tengok dalam gambar kat bawah tu.
Cukup besar, tinggi dan ganas sekali. Sekali ia hempas habis semua. Jadi bukan mudah nak jumpa serpihan pesawat dalam lautan camni.
Tiada siapa yang betul² pasti bagaimana keadaannya pesawat MH370 itu terhempas ketika ia mendarat di lautan.
Sebab ada kemungkinan besar bahawa “fuselage” pesawat masih berada dalam keadaan elok dan tidak pecah semasa pesawat mendarat di Lautan Hindi.
Mungkin atas sebab itulah SAR Team gagal menjumpai serpihan besar yang bertaburan terapung sebagaimana pesawat lain yang terhempas di laut sebelum ini.
Pernah tengok filem Sully, Miracle on the Hudson River? Pesawat beliau masih utuh terapung di atas air dan tidak tenggelam kerana air sungai ketika itu tenang, sebab waktu tu musim sejuk.
Adakah perkara yang sama boleh dilakukan di Lautan Hindi ni? I don’t think so brother.
2️⃣ Kedua adalah motif. Bab inilah yang paling ramai netizen kita suka membuat spekulasi.
Ada banyak teori yang dibincangkan tapi selagi pesawat tidak dijumpai, semua itu akan hanya kekal sebagai teori.
Ramai yang tanya aku, teori mana satu yang paling aku rasakan relevan dan mengapa?
Hanya yang pernah datang berjumpa dengan aku secara face to face sahaja akan aku kongsikan pendapat peribadi aku, teori mana yang paling aku percaya.
Sebelum ini dalam sesi meet & greet di Johor dan Kota Kinabalu, ada yang bertanya dan aku telah kongsikan pendapat peribadi aku termasuk ‘The untold story’ yang tidak boleh dikongsikan secara umum dimuka buku ini.
Oklah, dengan ini aku tamatkan ‘rally’ penulisan aku mengenai misteri kehilangan pesawat MH370.
Mana yang ada soalan atau kemusykilan boleh kemukakan di ruangan komen. Kalau aku boleh jawab, aku jawab. Kalau ianya ‘classified’ maka maaflah… Aku tak boleh jawab.
Semoga semua enam siri penulisan aku mengenai MH370 ni sedikit sebanyak menjawab persoalan yang bermain diminda rakan² sekalian.
Sorry la lambat post. Sebab tulis padam tulis padam… Silap tulis boleh kena saman, silap tulis boleh beraya kat dalam..
Korang kena ingat, raya ni pun dah nak dekat, jadi faham² la kan. Jangan cari pasal.😎

Views: 2