Sumber: Malaysiakini
Diterbitkan: Jan 10, 2024 9:10 AM
⋅
Dikemaskini: 9:10 AM
Dalam satu kejadian baru-baru ini, seorang lelaki mendakwa telah dihalang dan diperiksa oleh polis ketika dalam perjalanan menuju ke tempat letak keretanya.
Apabila pemeriksaan mendapati terdapat butiran dan salinan kad pengenalan pelanggan dalam telefon bimbitnya, dia dituduh sebagai Along dan kemudiannya diperas ugut sebanyak RM10,000.
Peras ugut merupakan kesalahan dari segi undang-undang dan kes itu masih disiasat. Namun adakah polis mempunyai kuasa untuk memeriksa telefon bimbit? Dan jika ya apakah had kuasa tersebut?
Kuasa polis untuk memeriksa dan merampas barang – sama ada telefon, bekas pensel atau malah keseluruhan bangunan – tertakluk oleh Kanun Tatacara Jenayah. Bergantung kepada jenis kesalahan yang disyaki, undang-undang lain seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh juga terpakai.
Sebagai contoh, Seksyen 116B Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 249 Akta Komunikasi dan Multimedia menetapkan bahawa pegawai polis yang berpangkat inspektor atau lebih tinggi, atau pegawai diberi kuasa, “hendaklah diberi akses kepada data berkomputer sama ada disimpan dalam komputer atau sebaliknya” semasa pemeriksaan.
Ini bukan sahaja bermakna perlu menyerahkan telefon anda, tetapi juga kata laluan, kunci penyulitan, dan apa sahaja yang diperlukan untuk membolehkan data dibaca.
Keengganan mematuhi arahan polis boleh dilihat sebagai tindakan “menghalang”. Jika didakwa dan didapati bersalah, seseorang boleh denda sehingga RM20,000, penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 248 Akta Komunikasi dan Multimedia menetapkan bahawa pemeriksaan dan penyitaan boleh dilakukan tanpa waran, jika pegawai pemeriksa atau pangkat yang lebih tinggi percaya kelewatan dalam mendapatkan waran boleh menjejaskan penyiasatan (contohnya jika terdapat gangguan atau pemusnahan bukti jenayah).
Sudah tentu, ini tidak bermakna polis dan agensi penguatkuasaan lain boleh memeriksa telefon orang ramai secara sesuka hati, kerana pemeriksaan mestilah sebahagian daripada siasatan.
Seperti yang dinyatakan di atas, pegawai polis yang menjalankan pemeriksaan mestilah berpangkat inspektor atau lebih tinggi.
Buku Merah Majlis Peguam, yang merupakan risalah yang menyediakan panduan ringkas tentang hak undang-undang seseorang semasa pemeriksaan atau penahanan polis, menjelaskan polis boleh memeriksa telefon anda hanya jika mereka mengesyaki anda telah melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang, anda sedang disiasat kerana jenayah, atau anda telah ditangkap kerana disyaki melakukan jenayah.
Semasa pemeriksaan, badan itu menasihatkan agar anda mengambil perhatian tentang beberapa perkara seperti nama, pangkat dan ID mereka, serta bertanyakan alasan memeriksa telefon anda. Jika anda tidak pasti, Majlis Peguam berkata anda boleh menghubungi peguam untuk mendapatkan nasihat, atau meminta untuk dibawa ke balai polis berdekatan untuk pemeriksaan dijalankan di sana.
Pada 2019, timbalan menteri dalam negeri pada masa itu Mohd Azis Jamman turut menasihatkan orang ramai supaya meminta pengenalan diri pegawai polis sekiranya pemeriksaan sedemikian, bagi mengelakkan pelanggaran prosedur operasi standard.
Menurutnya aduan mengenai pelanggaran prosedur boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau di Bukit Aman.
Selain polis sendiri, Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) juga mempunyai kuasa untuk menerima aduan, menyiasat dan bertindak terhadap salah laku polis.
Bagaimanapun, sehingga laporan ini ditulis, suruhanjaya itu masih belum ditubuhkan walaupun telah mengambil alih peranan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan terhadap polis.
Pada 17 Nov tahun lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah berkata IPCC dijangka beroperasi sepenuhnya awal tahun ini.