SRAM 2019, Youtube Live Streaming, catatan saya

Alhamdulillah, sudah selesai acara Simposium Radio Amatur Malaysia 2019, yang telah diadakan di Auditorium SKMM Bangunan Lama, Cyber Jaya pada Sabtu, 20 Julai 2019. 9W2USM Pak Mus telah ditugaskan menjadi juruacara majlis (MC) dan beliau telah meminta saya untuk menyempurnakan tugasan itu. Atas sifat semangat ham dan saling membantu, saya bantulah mana yang terdaya.

Bermula dengan perbincangan semasa TT (Teh Tarik Session) dengan beliau, tercetus idea mengapa tidak diadakan Live Streaming, kira-kira 3 hari sebelum acara bermula. Seterusnya kami menghubungi 9W2FG Ashwar selaku Pengerusi AJK Penganjur dan beliau menerima baik cadangan tersebut. Saya mencari maklumat apakah medium yang sesuai dan menjumpai Youtube Live Streaming. Seterusnya apa yang saya lakukan, membuat pendaftaran akaun baru di Google, seterusnya ke Youtube dan meninjau-ninjau apakah keperluan untuk Youtube Live Streaming. Ada 3 cara rupa-rupanya untuk Youtube Live Streaming ini, iaitu menggunakan android, webcam dan external camera yang disambungkan dengan peralatan lain yang lebih canggih.

Pilihan yang sangat mudah menurut pemikiran saya ialah menggunakan android saja, rupa-rupanya Youtube mengenakan syarat bahawa untuk Youtube Live Streaming menggunakan android, channel kita perlu minima 1,000 orang subscribers. Wow !! Ternyata pilihan ini gagal. Mana mungkin baru daftar dah ada 1k subscribers, lagipun untuk mendapat 1k subscribers, video dan content kita perlu luar biasa hebatnya dan mengambil masa… Pilihan berikutnya yang kedua iaitu menggunakan webcam. Maka tercari-carilah webcam lama murah meriah berharga 20 hinggit…  Pilihan ketiga ternyata lebih complicated dan menyakitkan kepala, so option tersebut tidak terpakai untuk rakyat marhaen yang tak berapa berduit ni….

Banyak songeh Youtube ni dengan macam-macam polisi nya…

Menuju kelangkah berikutnya, rupa-rupanya Youtube Live Streaming perlu diaktifkan terlebih dahulu dan mengambil masa 24 jam untuk proses pengaktifan. Dengan tidak sabarnya, terpaksalah menunggu 24 jam sehinggalah ianya aktif. Begitu pulak polisi Youtbe ni…. hmmmm….. Mujurlah masih ada waktu untuk menunggu tempoh pengaktifan…

Setelah bersabar menunggu tempoh edahnya 24 jam, aktif juga akhirnya. Saya terfikir-fikir, betapa mustahaknya audio yang masuk semasa rakaman, mesti menggunakan microphone yang canggih untuk capture audio, kerana kalau menggunakan internal mic yang ada di webcam, kualiti audio nya macam hampehhh…. kalau hanya sekadar suka suki main webcam dengan rakan-rakan tak apalah… untuk event sebegini jangan main-main woooo…..

Audio Mixer Yamaha

Lantas aku cabut Audio Mixer jenama Yamaha yang tersambung ke PC dan Radio HF aku… ini wajib ada untuk input audio yang baik di dalam dewan, ideanya wajib mendapatkan audio input dari microphone yang sedia ada di dewan / auditorium. Mixer ini ada sambungan USB untuk disambungkan ke PC atau Laptop, ada berbagai jenis jack untuk berbagai connector untuk input dan output.

Ok, setelah dicuba-cuba membuat Youtube Live Streaming, akhirnya berjaya. Namun secara jelasnya, internet connection yang lemah / perlahan pasti tidak menjanjikan kualiti streaming yang terbaik. Internet wajib mantap !! Itulah kesimpulannya setelah ujian dibuat.

Akhirnya, aku dan Pak Mus sampai sehari lebih awal di Auditorium MCMC Bangunan Lama di Cyber Jaya. Ramai rakan-rakan telah berada di lokasi membuat persiapan itu dan ini. Masing-masing memberikan komitmen sebaik mungkin untuk menjayakan acara ini, yang julung-julung kali diadakan.

Aku terus mencari teknisyen yang menguruskan hal-hal PA System ini. Akhirnya jumpa, aku tanya, ada tak kabel panjang atau mic untuk audio in ke laptop. Jawapnnya, “tak ada bang, ini saja yang ada”, sambil menunjukkan kabel pendek lebih kurang 1 meter, waduhhh… ini sudah bahaya…. menuju kearah kegagalan kalau tak ada juga. Ishh.. pening-pening. Mana nak cari hari dah petang menjelang malam ni…. Aku minta tolong Morgan, “Bro, tolonglah aku, you tolong carilah itu kabel”…. si Morgan kehulu kehilir cari budak MCMC yang akhirnya menuju ke teknisyen yang sama juga… Walaweiiiii !!!

Lokasi pemasangan web cam dan laptop untuk Youtube Live Streaming. Audio controller room di belakang lebih kurang 15 meter.

Akhirnya Jayakanthan yang melihat gelagat kami muncul, “bro, what can I help you, what are looking for”, dia bertanya. Aku tunjuk la Yamaha mixer yang aku bawa ni, yang selama ini aku sambungkan ke PC dan ke radio HF aku untuk aku QSO dan rakam audio QSO… just suka suki main radio…  “I want cable bro… long cable from this location to audio controller room”…. aku memberi penjelasan. “OK, no problem, we go inside and look”…. dia menjawab. Kami pun masuk ke dalam, teknisyen tu kata ini lah port nya nak sambung. Kabel tak ada… katanya. Si Jayakanthan cari sana sini, berkeliaran matanya meninjau dan terlihat satu kotak di dalamnya ada kabel. “Haaa… ini kabel apa? Panjang ni… “, sambil mengambilnya dari kotak. “Kami pun tak tahu, tak pernah guna, entah kabel tu elok ke rosak tak tahu la”, si budak teknisyen itu menjawab. “Ok, kita test”, terus dia ambil connecternya dan cucuk ke mixer kecil rakyat marhaen ni dan terus cucuk ke port output audio di mixer besar yang canggih hasil pembelian kerajaan menggunakan wang cukai rakyat. Wow… ngam… ngam….

Gambar dari rakan yang tidak dapat hadir yang terus menerus memantau Live Streaming menggunakan PC

Seterusnya kabel di tarik ke lokasi web cam murah meriah 20 hengget yang bersambung ke laptop. Aku pun test, suruh Pak Mus nyanyi, nampaknya audio masuk dengan baik ke dalam PC. Mujurlah laptop aku pakai OS Linux Mint yang opensource tanpa guna Windows Bill Gate yang pirate yang tak perlu pening-pening install driver nya untuk menentukan mixer berfungsi. Kemudian masalah internet, ada Wi-Fi dalam ini. Ini mesti mantap… maklumlah internet connection di MCMC mestilah canggih, ISP mesti provide internet canggih dan kelajuan turbo untuk mereka… dari nenek hingga datuk Fiber Optic semua ada. Bila testing, walaweiiii… kena block laaa untuk laptop… haiyaaaa…. browsing apa-apa pun tak boleh… Akhirnya guna HP aku la jadi mangsa, pakai data sendiri… Test juga guna Fizi punya, sibuk dia kata nanti aku nak pakai HP macam mana?

Setelah dicuba dan test guna hotspot HP, OK lah.. sudah boleh berfungsi. Kami pun pergi makan dan Pak Mus beli sim card Tune Talk harga 2 hengget. Esoknya Ashwar sponsor top up 50 hengget dan aku pun langgan 10 GB. Nampak signal keluar 4G. OKlah. Confident dah ni…. mudah-mudahan tak ada masalah. Jam 7 pagi kami dah sampai, selepas sarapan terus test lagi… jangan main-main wei… 13 ribu ham radio berdaftar nak menonton Live Streaming ni…..

Semasa acara sedang berlansung… dibantu oleh rakan-rakan memantau kamera angle

Acara pun dimulakan. Bila dah setup, aku minta tolong Fizi dan sorang lagi bantu apa-apa yang patut. Sebab buat dua kerja, satu lagi nak jadi MC. Itupun gelabah juga sebab ada perubahan-perubahan mendadak jemputan VIP yang datang dan lain-lain perkara. Anak aku yang ada di UIA aku panggil untuk baca doa. Bersyukur, anak aku ni biasa baca khutbah semasa Raya, masa terawih bulah Ramadhan pun dia jadi imam di surau kampung kami.

Acara berjalan dan rupa-rupanya Live Streaming tidak lancar selamanya. Selepas lebih kurang 1 jam plus minus uploading, Live Streaming disconnected. Mereka yang mengikuti Live Streaming dah complain…. apa sudah jadi, sudah hilangggggg….  Aku jangka ini pasti di sebabkan data transfer yang tidak konsisten, berkemungkinan besar line congestion pada waktu-waktu tertentu. Aku yang pada mulanya dah seronok, jadi kecewa yang teramat. Sim card personal aku dah cabut dari HP supaya tidak terganggu dengan panggilan telefon yang akan disconnect internet connection. Akhirnya aku membuat kesimpulan, Live Streaming memerlukan internet connection yang stabil. Bergantung kepada data dari perkhidmatan wireless selular komersial bukanlah satu pilihan yang baik untuk uploading Live Streaming yang konsisten. Untuk Live Streaming, internet connection wajib dari sumber fiber optic. Itu kesimpulannya.

Sambil memonteng kat luar hisap rokok Pak Mus terus memantau Live Streaming…..

Pada satu-satu masa, sehingga mencecah 70 lebih yang menonton secara Live dan apabila disconnected, terus menjunam jatuh, dan bila disambung semula, secara puratanya hanya 20 lebih Live Viewer yang tinggal dan setia menonton. Pada masa itu, aku memikirkan, sudah tentu AJK penganjur terlepas pandang tentang perkara-perkara mengenai media coverage ni. Betapa mustahaknya event penting ini di rakam dan di dokumentasikan, selain dari backup kamera yang merakam tanpa henti secara offline. Ada sahabat yang bawa HP untuk merakam, namun tak sepenuhnya, tak tahu kenapa, tapi aku jangka pasti memory dah penuh. Selain dari itu, web cam rakyat marhaen 20 hengget murah meriah tidak menghasilkan video yang baik, hanya sekadar SD quality, low resolution yang mungkin menyakitkan mata sesetengah orang kerana dah biasa HD. Telah disuarakan sebelum ini, namun tiada penyelesaian dan andaian aku tiada budget untuk itu akibat terlepas pandang.

Inilah video yang tersimpan part by part akibat terputus data uploading dan jemmmm….

Apabila uploading data tidak stabil dan terputus, maka video yang tersimpan jadilah part by part. Untuk connect semula, memerlukan masa sehingga 10 ke 15 minit. Yang pertama, uploading di PC macam ok je, namun rupanya tak upload pun… itupun setelah diberitahu, baru aku tahu. Seterusnya nak buat setup untuk upload Streaming semula, dah ambil masa lagi… sehingga keluar status Go Live barulah OK.

Page yang aku buat untuk mudah akses ke link Youtube Live Streaming dan memaparkan jadual acara.

Aku juga tak dapat berbuat apa-apa kerana HP aku digunakan untuk hotspot. Pada awalnya ada niat nak ambil video-video di luar di tapak pameran dan juga buat interview kepada bos-bos persatuan dan orang-orang lama ham radio yang ada. Ala-ala reporter kononnya. Dalam masa yang sama juga kena alert untuk tugasan MC yang masih tak selesai hingga hujung acara.  Namun itulah seadanya dan setakat mana yang mampu, walaupun dah mencuba sedaya upaya yang terbaik. Namun sengaja aku buat catatan ini supaya tidak terlupa untuk dibuat rujukan kemudian hari, maklumlah Melayu mudah lupa. Nasib baik aku Jawa.

Gambar beramai-ramai peserta yang hadir

Begitulah ceritanya lebih kurang, apa pun daripada tak ada langsung, sekurang-kurangnya ada juga Live Streaming untuk memberikan peluang kepada rakan-rakan mengikuti perkembangan kerana tidak dapat hadir disebabkan berbagai perkara, tugasan dan lain-lain. Walau apa pun, hasil dari pengalaman ini masih ada ruang untuk penambahbaikan dan yang paling mustahak ialah dokumentasi acara berupa rakaman video, Live Streaming, gambar, penulisan dan perkara lain seumpamanya sangat-sangat penting dan tidak harus dipandang ringan.

Setinggi-tinggi tahniah kepada Ashwar, Zanirul dan semua rakan-rakan lain. Anda adalah manusia hebat yang begitu bekerja dengan kuat, memberikan komitmen dan mantap dengan dibantu oleh rakan lain dari semua aspek, dari programnya, jemputan, makan, goodies, pendaftaran dan berbagai perkara. Mudah-mudahan akan ada lagi acara sebegini yang akan menjadi acara tahunan. Terima kasih juga kepada MCMC yang telah memberikan peruntukan untuk perbelanjaannya. Tahniah kepada semua. 73