Sumber: Facebook Anuar Ahmad
Saya orang Melayu. Izinkan saya mengkritik bangsa saya sendiri. Maaf kalau ada rakan-rakan sebangsa saya yang berkecil hati.
~~~~~~
(1) Pemikiran orang Melayu cukup konservatif bila bercakap soal pendidikan. Mereka sebenarnya sukar berubah, berkira dan kurang pragmatik dalam ruang pendidikan. Itulah perangai Melayu. Jangan terasa hati. Baca dulu sampai habis.
(2) Kerana perangai ini, sebahagian orang Melayu sentiasa ketinggalan dalam menguasai kemajuan pendidikan. Itulah rumusannya bila kita selesai menelaah karya-karya mengkritik bangsa Melayu tulisan Abdullah Munsyi, Syed Sheikh Al Hadi, Pendeta Zaaba, Senu Abd Rahman, Tun Mahathir, Syed Hussein Al Attas dan Ungku Aziz.
(3) Pengkaji orientalis barat seperti R.O Winstead, R.J Wilkinson, O.T Dussek dan Frank Swettenham juga pernah memberikan hujahan yang hampir sama dan ada antara mereka yang memberikan pandangan yang lebih ‘sinis’ lagi tentang perilaku dan perangai orang Melayu berkaitan aspirasi pendidikan.
(4) Di era penjajahan Inggeris, kebanyakan orang Melayu tak benarkan anak anak mereka belajar di sekolah Inggeris. Mereka juga tidak izinkan anak anak mereka menguasai bahasa Inggeris. Mereka kata itu semua ilmu sekular dan cara barat. Tidak boleh diikut dan dicontohi sebab akan merosakkan iman dan adap Melayu. Bacalah misalnya karya Syed Sheikh al Hadi di dalam akhbar Al Imam. Akhirnya kerana pendidikan tidak tinggi, orang Melayu ketinggalan dalam banyak peluang memajukan kehidupan.
(5) Dulu, kebanyakan orang Melayu juga tidak mengalakkan anak-anak perempuan mereka belajar tinggi. Bacalah kisah perjuangan Ibu Zain untuk memahami sejarah wanita Melayu dan pendidikan. Mereka bimbang dengan isu pergaulan bebas dan akan rosak akhlak anak anak perempuan mereka jika belajar tinggi di sekolah Inggeris. Mereka lebih suka anak perempuan di rumah sahaja. Mereka lebih rela melihat anak-anak perempuan mereka terperuk di dapur walaupun mempunyai akal yang bijak. Akhirnya, kerana tiada kelulusan pendidikan, anak perempuan Melayu terlepas banyak peluang untuk maju dalam hidup.
(6) Ramai orang Melayu juga tidak ada simpanan yang cukup untuk pendidikan anak-anak mereka. Baca buku Dr Muhammed Abdul Khalid berjudul “Colours of Inequality” untuk memahami hal ini. Bukan sedikit anak-anak Melayu yang berpotensi dan cemerlang dalam pendidikan akhirnya terpaksa berhenti sekolah kerana ibubapa tidak ada wang simpanan untuk membiayai pelajaran anak-anak mereka.
(7) Ada anak-anak Melayu dari keluarga miskin yang dipaksa berhenti sekolah dan mula bekerja upah untuk membantu keluarga. Dulu ada sebahagian orang Melayu yang miskin sanggup pinjam duit ceti, gadai dan jual tanah sekangkang kera semata-mata buat kenduri kawin anak-anak, tapi keberatan untuk lakukan hal yang sama untuk biaya pendidikan anak anak mereka. Bacalah kajian oleh Almarhum Prof DiRaja Ungku Aziz tentang pembangunan ekonomi orang Melayu.
(8) Kebanyakan orang Melayu sejak dulu memang sukakan pendidikan yang percuma untuk anak-anak mereka. Walaupun hari ini sudah ramai orang Melayu yang kaya dan banyak duit, masih ada antara mereka sedikit pun tidak rasa malu dan segan untuk menuntut kerajaan menanggung pendidikan anak-anak mereka.
(9) Walaupun sudah kaya dan punya rumah besar dengan segala kemewahan, kebanyakan orang Melayu tetap berebut rebut untuk menghantar anak-anak mereka ke asrama penuh yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka juga tidak sedikit pun rasa malu untuk merebut tempat di MRSM kerana mereka mahu MARA menanggung pendidikan anak anak mereka. Mereka kata “mengapa pula hanya anak-anak miskin sahaja boleh masuk MRSM, anak-anak kami pun ada hak juga’. Sedangkan matlamat asal penubuhan MRSM pada 1972 adalah untuk anak-anak bumiputera miskin dan luar bandar mendapat bantuan persekolahan kerana mereka mempunyai potensi untuk lebih maju dalam pendidikan.
(10) Walaupun mereka tahu keutamaan asrama penuh kepada anak-anak orang Melayu miskin untuk mendapat pelajaran yang lebih baik, mereka tetap tidak peduli. Mereka tidak kisah walaupun telah jelas dinyatakan dari awal lagi asrama penuh dan MRSM wujud untuk membantu anak-anak orang Melayu miskin yang berpotensi. Mereka tak kisah tentang anak-anak Melayu sebangsa mereka yang begitu miskin dan sangat memerlukan tempat di asrama. Mereka tak kisah itu semua, asalkan mereka tak perlu keluarkan banyak duit sendiri untuk pendidikan anak anak.
(11) Ada orang Melayu yang berduit dan kerap bercuti keluar negara untuk bersukaria. Bila di luar negara, mereka tahu pendidikan yang berkualiti ada di negara maju, mereka mahu anak-anak mereka belajar di luar negara. Tetapi mereka tetap menunggu biasiswa dari kerajaan untuk menghantar anak anak mereka belajar di sana. Mereka ada banyak duit dan selalu bercuti di luar negara tetapi percayalah mereka tidak akan sekali-kali belanjakan duit sendiri untuk hantar anak mereka mendapatkan pendidikan di luar negara.
(12) Memang ada orang Melayu yang bukan dalam kelompok yang saya bincangkan ini tetapi percayalah jumlahnya sangat kecil sekali. Susah kita nak jumpa orang Melayu yang sanggup berhabisan wang untuk memberikan pendidikan yang berkualiti untuk anak anak mereka tanpa bantuan pihak lain. Memang ada Melayu begini tapi tak ramai.
(13) Kebanyakan orang Melayu cukup berkira tentang pelajaran anak anak. Tetapi tidak pula kedekut tentang melayani gaya hidup mereka. Ramai orang Melayu yang sanggup berhutang untuk beli kereta mewah, tetapi tidak pula sanggup berhutang untuk pendidikan anak anak mereka. Sampai hari ini ada ibubapa Melayu yang akan merungut jika mereka diminta oleh sekolah untuk membayar sedikit sumbangan untuk keperluan sekolah yang mahu memberikan kemudahan belajar pada anak anak mereka. Mereka mengeluh kerana perlu keluarkan wang walaupun sebenarnya itu semua untuk tujuan pembelajaran anak-anak sendiri di sekolah.
(14) Ada orang Melayu yang sanggup habiskan duit untuk merokok, membeli pakaian mahal, beli barang kemas bayar ansuran atau beli telefon berjenama yang mahal tetapi belum tentu mereka bersedia membeli bahan bacaan dan buku-buku berkualiti setiap bulan untuk pendidikan anak- anak mereka. Anda juga jangan pelik, memang ada orang Melayu yang lebih percaya untuk melabur puluhan ribu ringgit dalam MLM dan skim cepat kaya kononnya untuk jaminan masa depan berbanding melaburkan wang untuk pendidikan anak-anak.
(15) Hari ini angka menunjukkan yang paling ramai berhadapan dengan masalah penguasaan Bahasa Inggeris adalah anak-anak Melayu. Hari ini, data menunjukkan yang paling ramai gagal dalam aliran sains dan matematik pun adalah anak anak Melayu. Maka tidak peliklah data juga menunjukkan yang paling kurang menjadi jurutera, peguam, akauntan, arkitek dan ahli farmasi juga anak anak Melayu. Akhirnya, tentulah bangsa yang paling rendah pendapatan pun adalah kalangan bangsa Melayu juga.
(16) Orang Melayu cukup konservatif dengan urusan pendidikan anak-anak mereka. Dari sebelum merdeka hinggalah sekarang. Walaupun tak semua begitu tapi kebanyakannya begitulah. Belum lagi kita bercakap tentang pendidikan yang sedang pesat berkembang sekarang. Tentang keperluan menyediakan peranti yang mahal harganya, kemudahan Internet dan akses berbagai bahan belajar serba baru yang perlu digunakan oleh anak-anak untuk pendidikan masa depan.
(17) Saya tahu saya akan kena ‘kecam’ kerana tulisan ini. Perkara yang sama berlaku bila Munsyi Abdullah, Syed Sheikh Al Hadi, Zaaba dan Syeikh Hussein Al Attas mengkritik orang Melayu dalam penulisan mereka dulu. Tapi saya telah bersedia untuk dikecam. Tulisan ini khusus tentang budaya Melayu (saya lebih senang menggunakan istilah perangai Melayu). Jika nak faham lebih mendalam bagaimana budaya boleh memajukan atau memundurkan sesuatu bangsa, bacalah buku ‘Culture Matters: How Values Shape Human Progress’ karya suntingan Prof Harrison Lawrence dan Prof Samuel Huntington. Kedua -duanya dari Universiti Harvard.
(18) Saya cuma mahu kita sama-sama sedar, jika perangai orang Melayu masih tidak berubah untuk melihat pentingnya berkorban wang ringgit demi pendidikan anak-anak, bangsa Melayu akan terus ketinggalan. Semoga kita bukanlah di kalangan orang Melayu yang berperangai sebegitu.