Nota ini saya karang pada 19 November 2014 dan publish di facebook. https://www.facebook.com/notes/293593904172255/
AM
Ramai orang bertanya saya apa itu IPTV. IPTV ialah Internet Protocol TV. Dari namanya kita sudah boleh mengetahui apa tujuan IPTV; iaitu untuk menonton TV melalui internet. Jadi jelas dan nyata disini anda tidak memerlukan sebarang dish untuk mendapatkan signal dari satelit, yang anda perlukan ialah internet yang laju. Bermaksud hanya plug and play sahaja dan anda akan terus mendapat siaran. Boleh baca sendiri penerangannya di sini. http://en.wikipedia.org/wiki/IPTV
Berapa laju internet itu?
Dari ujian yang telah saya buat, secara puratanya data yang di download menggunakan IPTV adalah antara 2 hingga 3 MB/s. Oleh kerana saya menggunakan internet ADSL berkelajuan 4 MB/s, saya tidak menghadapi masalah untuk menonton channel yang ditawarkan melalui apk sama ada dalam format Standard Definition (SD) atau High Defination (HD). Ada yang bertanya saya, adakah boleh menggunakan wireless broadband internet untuk menonton IPTV? Jawapannya boleh sekiranya anda mempunyai pelan data tanpa had (unlimited). Persoalannya adakah wujud pelan data yang sedemikian? Ada juga yang bertanya, bolehkah menggunakan internet dengan hanya kelajuan 2 MB/s? Saya berpendapat akan ada lagging berdasarkan data download yang telah saya perolehi. Namun ianya juga bergantung kepada channel yang kita tonton, sama ada kita menonton channel dalam format SD atau HD.
Bagaimana kualiti siaran IPTV?
Ramai yang menganggap apabila dinyatakan channel itu HD, mereka mengharapkan kualiti gambar yang akan keluar di TV mereka betul-betul HD seperti dari original decoder yang mendapat siaran dari satelit. Sebenarnya kurang tepat. Sebelum anda dapat menonton siaran tersebut di TV anda dirumah, data yang disalurkan melalui internet melalui proses yang dipanggil media streaming dimana video dan audio diasingkan oleh perkakasan streaming. Video akan dipadatkan (compress) dalam format H.264 atau VP8, manakala audio dipadatkan dalam format MP3, Vorbis atau AAC. Selanjutnya video dan audio tadi akan disatukan dan dipadatkan dalam format MP4, FLV, WebM, ASF atau ISMA. Akhirnya akan disalurkan kepada pengguna melalui internet kelajuan tinggi berasaskan jaringan fiber optic selepas melalui proses pengesahan (authentication) akaun melalui MAC address. Selain dari itu, ada masa tertentu akan terdapat audio dan video syncronize yang tidak sama dimana audio adakalanya lebih cepat atau lambat dari video yang sedang ditayangkan.
Dalam proses yang dinyatakan, bergantung kepada setting atau tetapan yang telah dibuat, kualiti gambar yang dikeluarkan selepas streaming boleh direndahkan untuk menyalurkan data dengan laju kepada pengguna. Provider biasanya mengambil pilihan ini supaya pengguna ADSL terutamanya masih boleh menikmati IPTV. Andainya mereka tetap mengekalkan kualiti seperti asal, pasaran mereka sudah pastinya akan terjejas kerana data yang diperlukan sangat tinggi dan hanya pelanggan yang mempunyai internet berasaskan fiber optik sahaja dapat menikmati perkhidmatan ini.
Bagaimana hendak menonton IPTV?
IPTV yang banyak dipasaran ialah yang menggunakan sistem operasi android. Jadi secara nyatanya, anda memerlukan apa-apa device yang menggunakan android seperti smartphone, tab atau box android. Anda perlu memuat turun apk dan memasang perisian apk itu ke dalam peranti android anda. Adalah penting untuk cuba install dahulu kerana ada sesetengah peranti android tidak memberi paparan yang penuh kerana resolusi dan paparan peranti tersebut yang agak kecil.
Selain dari itu, ada juga peranti IPTV yang menggunakan sistem operasi Linux. Pengalaman saya menggunakan box IPTV yang menggunakan Linux, ianya lebih cepat tanpa buffering terutamanya semasa menukar channel. Selain dari itu, security system di dalam box linux lebih hebat dimana ianya menggunakan embeded software yang telah dipasang ke dalam box itu dan ini memberikan kelebihan atau advantage kepada provider untuk mengelakkan box mereka di hack oleh orang-orang tertentu. Penggunaannya juga lebih mudah menggunakan remote control.
Walau apa pun, android itu juga berasal dari Linux Kernel yang dibangunkan oleh Google untuk mobile operating system dan berdasarkan data sehingga April 2013, android OS menguasai pasaran sehingga 71% berbanding mobile OS lain yang juga pesaingnya. Bermaksud andainya anda membeli box IPTV android, anda bukan saja boleh menonton IPTV melalui aplikasinya di TV, tetapi anda juga boleh menonton youtube, facebook dan lain-lain aplikasi yang boleh dimuat turun dari Google Playstore. Anda boleh membeli peralatan tambahan seperti wireless keyboard dan mouse untuk memudahkan pengawalan berbanding menggunakan remote control. Untuk butiran terperinci, boleh baca sendiri di http://en.wikipedia.org/wiki/Android_(operating_system)
Apa itu apk?
Android application package file (apk). Terdapat beberapa provider yang menawarkan apk yang berbeza contentnya untuk IPTV. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri terhadap channel-channel yang ditawarkan. Anda harus bijak memilih content atau channel yang ditawarkan yang bersesuaian dengan selera anda. Sila baca sendiri penerangannya di sini. http://en.wikipedia.org/wiki/Android_application_package
Sekiranya saya berada diluar negara, bolehkah saya mendapatkan siaran?
Ya, asal saja anda mempunyai sambungan internet tidak kurang dari 4 Mbps dan tiada kuota, itu sudah memadai. Walaupun dalam ujian saya ianya tidak mencapai 4 Mbps, namun menggunakan internet dengan kelajuan sekurang-kurangnya 4 Mbps adalah yang terbaik.
RISIKO
Apakah risiko menggunakan IPTV ini. Setiap produk dan perkhidmatan ada kelebihan, kekurangan dan kelemahan yang tersendiri. Antaranya ialah
1. Hakcipta.
Sekiranya anda menggunakan perkhidmatan IPTV yang murah, kandungan (content) yang ditawarkan itu akan melibatkan masalah perundangan iaitu hakcipta. Itulah antara sebabnya ada IPTV yang ditawarkan oleh ISP tertentu gagal memberikan siaran yang hebat dan mantap kerana masalah hakcipta, perjanjian dengan content provider dan monopoli pasaran oleh syarikat kroni yang seolah-olahnya kebal dan dilindungi. Hakcipta siaran atau content di dalam IPTV boleh diumpamakan seperti anda membeli VCD/DVD cetak rompak. Membeli dan memiliki playernya tidak menjadi kesalahan, tapi memiliki VCD/DVD cetak rompak itu yang menjadi kesalahan. Jadi faham-faham sendirilah, pandai membeli pandai menyimpan. Tentang hukum dan fatwa, boleh rujuk dan tanya sendiri kepada datuk Google.
2. Server Crash atau Server Ditutup
Akan berlaku pada satu masa apabila terlalu banyak pelanggan atau pengguna, adalah tidak mustahil server yang melayani permintaan data terlalu banyak akan crash atau lumpuh dengan sendirinya. Namun sekiranya pengendali IPTV berkenaan mempunyai prasarana atau backup yang bersesuaian, ianya akan dapat dielakkan. Namun risiko tersebut tetap ada dan tidak mustahil akan berlaku.
Satu lagi faktor sekiranya perkhidmatan dari IPTV underground, tidak mustahil pada satu masa nanti pihak berkuasa dapat mengesan lokasi server IPTV tersebut dan merampas semua peralatannnya. Pengesanan boleh dibuat sekiranya IP server tersebut dapat dikesan dan akaun serta data pemilik pengendali IPTV diketahui seperti alamat pemasangan dengan kerjasama ISP. Namun, pengendali IPTV ini sangat licik melindungi IP mereka dari dikesan dengan menggunakan kaedah proxy server atau cara lain yang lebih canggih. Masalah bertambah serius sekiranya ada pengendali IPTV yang menawarkan siaran lucah atau channel lucah, tapi biasanya dari luar negara.
3. Siaran
Siaran atau Channel yang ditawarkan adalah berbeza mengikut provider A, B, C dan selanjutnya. Biasanya channel tersebut adalah bercampur-campur dari berbagai satelit sama ada dari satelit tempatan, luar negara atau digital teresterial TV. Provider sudah tentunya akan memilih channel yang favorite dan disukai ramai. Adalah mustahil untuk mengambil channel penuh untuk satu-satu satelit, mereka akan memilih channel yang penting sahaja. Mustahak untuk kita mengetahui senarai channel yang ditawarkan yang sesuai dengan selera kita sendiri.
Sumber channel biasanya diperolehi dari satelit sama ada dalam Ku band, C band atau dari Teresterial Digital TV. Bermaksud, sekiranya provider tersebut menawarkan 150 channel, mereka perlu mempunyai 150 decoder yang setiap masa dihidupkan. Kos penyelenggaran dan kos internet penyedia perkhidmatan IPTV sangat besar dan oleh itu bayaran langganannya juga agak mahal. Namun biasanya provider akan bekerjasama dengan rakan kongsi dari provider yang lain dimana mereka akan menggabungkan channel sesama mereka menjadikan channel yang ditawarkan menjadi banyak.
Selain dari itu, faktor cuaca dimana server itu ditempatkan juga mempengaruhi terutama sekiranya channel itu dari gelombang ku band yang sangat sensitif dengan cuaca seperti yang digunakan oleh astolol. Jadi sekiranya ditempat anda cuaca baik, tetapi anda tidak mendapat apa-apa siaran untuk channel tertentu, kemungkinan besar keadaan cuaca dimana sumber iPTV itu tidak mengizinkan.
4. Tiada Jaminan
Sekiranya anda menggunakan IPTV dari unofficial provider atau underground provider, janganlah anda mengharapkan jaminan apa-apa. Terimalah ianya dengan seadanya. Jangan sesekali ditayangkan ditempat terbuka. Gunakanlah selagi ada dan bersedia dengan risikonya. Anda tidak boleh mengharapkan kesempurnaan sekiranya anda membeli dengan harga yang murah dan tiada kontrak tertentu. Segala risiko anda yang tanggung sendiri dan tidak perlu menyalahkan sesiapa sekiranya berlaku apa-apa masalah terhadap kesinambungan perkhidmatannya dimasa hadapan. Kita umpamakan seperti perokok, mereka tahu merokok itu memudaratkan kesihatan, tapi tetap membeli rokok. Andai ada masalah kesihatan, jangan salahkan orang lain, sebaliknya salahkan diri sendiri. Samalah juga ceritanya anda membeli c line, tak perlulah terpekik terlolong sekiranya c line itu scramble. Memang ianya tidak sempurna dan berisiko. Nak perfect dan sempurna, langganlah yang asli dan bayarlah bil bulanannya. Antara faktor yang mempercepatkan kejatuhannya ialah penjualannya oleh reseller yang sangat terbuka tanpa memikirkan kerahsiaan. Manakala provider atau pengendali IPTV sangat berhati-hati dalam hal ini dan sentiasa memainkan peranan dibelakang tabir. Sekiranya apa-apa berlaku, reseller lah yang akan ‘ditembak’ terlebih dahulu oleh pengguna.
KESIMPULAN
Jelas telah dinyatakan agak terperinci konsep IPTV tersebut. Terpulanglah kepada anda sendiri untuk membuat pilihan. Semuanya diatas kemampuan dan selera anda sendiri. Namun, bagi peminat siaran satelit, IPTV bukanlah menjadi pilihan utama walaupun sumber siaran itu juga asalnya dari satelit. Bagi penggemar atau pencari signal TV satelit, IPTV adalah terlalu mudah dan tidak ada cabaran atau challenge. Tidak ada sebarang ilmu mencari satelit yang boleh diperolehi. Hanya sekadar plug and play dan layanlah apa-apa saja siaran yang ditawarkan oleh provider. Namun sekiranya anda tinggal dibangunan pencakar langit dan mempunyai sambungan internet yang laju, dimana memasang dish yang banyak akan menjadi halangan, mengapa tidak mengambil peluang mencubanya. Pilihan dan risiko ditangan anda sendiri.