Sumber: Blog 9M2ESM
Pada bulan ini, saya kesempatan memiliki sekeping kad SWL milik di antara individu yang terawal menjadi peminat hobi gelombang pendek atau SWL (Short Wave Listener) di Negeri-Negeri Melayu. Kad ini adalah milik kepada individu bernama Tan Bin Hussain yang juga merupakan di antara penduduk Tanah Melayu yang memiliki callsign radio amatur sebelum kemerdekaan Tanah Melayu tahun 1957. Kad ini diposkan dari Ipoh Perak pada 22hb Disember 1938 kepada J.R.N’mer. Hobi membalas kad ini merupakan sebahagian daripada hobi kecil dalam satu ruang (skop) besar peminat hobi pendengar gelombang isyarat pendek (SWL). Sebilangan besar peminat hobi SWL ini juga merupakan seorang pengiat hobi radio amatur. Ada juga yang bukan pemegang lesen radio amatur. Dahulunya, terdapat ramai yang meminati hobi SWL ini, antaranya bekas pensyarah saya di UKM iaitu Prof Kasmiran Jumari (Silent Key) yang pernah menulis berkaitan hobi SWLnya di laman sawangnya dahulu.
Setakat ini, kad QSL BSWL877 milik Tan Bin Hussain merupakan kad tertua yang saya temui iaitu dihasilkan pada tahun 1938. Selain itu, saya juga mempunyai kad QSL milik S.K.Sun yang dihasilkan pada tahun 1948. Berdasarkan kad QSL BSWL887, pemiliknya merupakan ahli kepada British Short Wave League dan juga ahli WSFRA, RSSL dan BLDLC. Tiada maklumat terperinci berkaitan dengan latar belakang British Short Wave League (BSWL) yang diperolehi setakat ini. Berkemungkinan ramai lagi penduduk di Tanah Melayu mahupun di Borneo yang menganggotainya. Hal yang sama bagi WSFRA dan BLDLC, tetapi yang pasti ianya beroperasi di England berdasarkan rujukan dari beberapa majalah lama yang boleh dirujuk di internet. Dalam buku On the Short Waves, 1923-1945 karangan Jerome S. Berg, RSSL adalah merujuk kepada Radio Signal Survey League yang ditubuhkan pada Febuari 1937. Penubuhan RSSL adalah bagi tujuan meningkatkan penghantaran dan penerimaan isyarat domestik dan antarabangsa melalui rangkaian pemantauan global. RSSL dibahagikan kepada 5 division iaitu BCB, SWBC, amateur phone, amateur CW dan “noise servey“.
Berdasarkan maklumat daripada penjual kad ini iaitu Mr John, pemilik sebelumnya berkemungkinan adalah seorang ahli radio amatur dan beliau memilikinya sewaktu sesi lelongan barang lama di Pennsylvania, USA oleh pemilik asal. Nama pemilik asal ialah J. Raymond Newcomer, beliau merupakan ahli RSSL (All Wave Radio Magazine, April 1938) yang juga merupakan stesen wartawan broadcast persendirian yang mempunyai tanda panggilan W5H18 (untuk ahli RSSL). Dapat diperhatikan juga Tan Bin Hussain juga mempunyai tanda panggilan VS2-1 di kad QSL diatas. Stesen BSWL877 menggunakan radio jenis Marconi 299 iaitu sebuah radio broadcast AM receiver buatan UK yang dibina pada tahun 1936. Radio ini merupakan radio terawal menggunakan litar super heterodyne (non-tube).
Bagi rakan-rakan radio amatur era 1950an hingga 90an. Nama Tan Bin Hussain bukanlah nama asing. Beliau merupakan pengiat radio amatur yang cukup dikenali dan dihormati dikalangan rakan-rakan sehobi beliau pada era berkenaan. Beliau pernah menjawat sebagai President MARTS dan menjadi MARTS QSL Bureau Manager dipenghujung usia beliau sebelum beliau SK (Silent Key 20hb Sept 2000) pada tahun 2000. Beliau memperolehi lesen radio amatur seawal tahun 1952 di Ipoh Perak dan menjadi SWL pada era 1930an. Kad SWL QSL menunjukkan bahawa beliau juga cukup aktif sebagai SWL dan beliau merupakan satu-satunya SWN Far Eastern Correspondent di Asia Tenggara untuk beberapa majalah radio antarabangsa pada era 1930an dan 40an. Callsign radio amatur beliau ialah VS2DW dan menggunakan callsign 9M2DW (Two-Dancing-Witches) selepas kemerdekaan Tanah Melayu.Beliau juga merupakan individu kedua berbangsa Melayu yang mempunyai callsign radio amatur selepas Tunku Temenggong Ahmad (VS3AE, VS2AE, 9M2JB) dan diikuti dengan VS2EG Muhammed Ariffin yang memperolehi callsign pada tahun 1953/54 (Radio Amateur Callbook Magazine, 1932-1965). Sebelum kemerdekaan Tanah Melayu, pemegang lesen radio amatur kebanyakkannya orang British dan penduduk Malaya berbangsa India, China dan Punjabi. Berdasarkan penceritaan daripada anak beliau 9M2FX (VS2FX), Tan Bin Hussain atau dikenali dengan Dato’ Tan merupakan sahabat baik kepada VS3AE pada era 1950an-60an iaitu selepas beliau berpindah ke Muar pada tahun 1957. Menurut 9M2FX, keluarga Dato’ Tan iaitu bapanya adalah Melayu berketurunan Bugis yang pernah menetap di Pulau Brani, Singapura. 9M2FX juga ada menyebut, sewaktu pendudukan Jepun di Tanah Melayu, ke semua radio milik bapanya terpaksa dibuang & diserah kepada Jepun kerana larangan memilikinya pada era berkenaan. Pada bulan September ini, telah genap 19 tahun pemergiannya. Bagi yang beragama islam, mari kita sama-sama sedekahkan al-fatihah kepada arwah Tan Bin Hussain.
Saya juga mempunyai koleksi kad QSL radio amatur milik VS2DW di 3 lokasi rumah beliau yang berbeza (Ipoh, Kota Bharu, Muar) seperti dalam gambar di bawah.